
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menyasarkan tiada kes Covid-19 pada pertengahan bulan depan, jika rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia susulan kejayaan melandaikan lengkuk kes baru Covid-19 selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).
“Walaupun lepas sambutan raya dan 14 hari pelaksanaan PKPP, kes tidak naik mendadak.
“Malah, kita telah capai satu angka. Kes harian dilihat masih terkawal dan kita perlu sebulan lagi untuk capai sifar kes dengan patuh SOP dikeluarkan KKM,” katanya pada sidang media hari ini.
Tiada kematian direkodkan dalam 10 hari ini, manakala kes baru Covid-19 pula sekitar 1 atau 2 angka sejak seminggu lalu.
Sebelum ini, kerajaan menyasarkan tahap sifar kes Covid-19 menerusi pelaksanaan PKP susulan susulan trend jangkitan lebih terkawal pada fasa pertama PKP.
Sementara itu, Hisham berkata, kerajaan akan meneruskan penutupan sesebuah kawasan jika terdapat penularan kes atau kluster baru selepas majlis sosial dan perkahwinan dibenarkan mulai 1 Julai ini.
“Misalnya restoran atau hotel yang ada penularan Covid-19 akan ditutup.
“Kita akan pantau, kalau ada kes positif atau kluster baru ditemui, kita akan ambil tindakan wajar, tak perlu melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan.”
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan hanya 250 tetamu dibenarkan menghadiri sesebuah majlis sosial dan perkahwinan selama 3 hingga 5 jam.
Selain kenduri dan sambutan hari lahir, majlis lain adalah pertunangan, perjumpaan (reunion) dan ulang tahun perkahwinan.