PKR pecat ketua Wanita Sabah, beri amaran kepada Tian Chua

PKR memecat Rahimah Majid dan memberi amaran kepada Tian Chua.

PETALING JAYA: Lembaga Disiplin PKR mengesahkan Ketua Wanita Sabah, Rahimah Majid dipecat manakala Naib Presiden, Tian Chua diberikan amaran.

Ini menyusul berita pemecatan 4 pemimpin lain semalam, iaitu Ketua Wanita PKR, Haniza Talha, Adun Seberang Jaya, Afif Bahardin, Ketua Wanita Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria dan Adun Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim yang disahkan Lembaga Disiplin parti itu hari ini.

Pemecatan itu dipercayai berkaitan hubungan mereka dengan ahli politik yang kini menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim berkata Adun Machap Jaya, Ginie Lim dan Pengarah Komunikasi Wanita PKR Pulau Pinang, Carolyn Khor turut diberikan amaran.

Katanya, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) turut bersetuju menggantung keahlian Ahmad Raj Abdullah yang melakukan serangan fizikal terhadap Tian Chua pada Mac lalu.

“Beliau digantung sehingga selesai siasatan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tian Chua yang merupakan penyokong bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, dibaling dengan botol, ditampar dan digelar “pengkhianat” serta “anjing” oleh sekumpulan penyokong yang marah dengannya ketika beliau hendak memasuki keretanya selepas selesai mesyuarat MPP di ibu pejabat parti itu pada 1 Mac lalu.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bersama Afif dan Adun Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri turut diganggu penyokong PKR ketika mereka meninggalkan ibu pejabat PKR pada hari sama.

Susulan itu, polis menahan seorang ahli PKR untuk membantu siasatan. Lelaki berusia 30-an itu ditahan di ibu pejabat PKR selepas polis menerima laporan pegawai bertugas.