
Beliau berkata, kementerian memandang serius insiden berkenaan kerana ia mendatangkan risiko tinggi kepada penumpang dan petugas.
“Walaupun semua 25 penumpang dalam insiden ini berjaya dipindahkan dengan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan, pihak kementerian tetap mengambil pendirian yang tegas dalam insiden ini dan tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan orang ramai.
“Saya ingin menegaskan bahawa lembaga pengarah dan pasukan pengurusan Prasarana tidak boleh meneruskan sikap ‘business-as-usual’.
“Kejadian sebegini perlu dipandang serius, dan tiada sesiapa dalam pengurusan tertinggi Prasarana akan terkecuali daripada akauntabiliti dalam insiden ini,” katanya dalam kenyataan.
Loke menyeru tindakan serius termasuk pemecatan oleh pihak Lembaga Pengarah Prasarana terhadap mana-mana pihak yang cuai dalam tanggungjawab mereka untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kebolehpercayaan perkhidmatan sistem rel di bawah kendalian syarikat itu.
“Sehubungan itu, pihak kementerian segera menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk menyiasat punca kejadian ini secara menyeluruh. Saya telah mengarahkan supaya dapatan siasatan ini dikemukakan kepada Jemaah Menteri secepat mungkin dan laporan tersebut dihebahkan secara umum.”
Awal pagi tadi, perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling mengalami kelewatan selepas sebuah trennya tergelincir akibat gangguan teknikal pada landasan di Stesen Chan Sow Lin.
Rapid KL turut menasihatkan penumpang menuju ke pusat bandar menggunakan tren Laluan Putrajaya dengan membuat pertukaran di Stesen Sungai Besi.