
Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata, kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz menunjukkan kepimpinan parti mahu menampilkan imej lebih stabil dengan hanya mengekalkan kelompok setia dan patuh kepada disiplin parti.
“Naratif cuba dibawa ialah hanya kelompok benar-benar setia dan patuh kepada disiplin parti kekal bersama Bersatu.
“Dari sudut politik organisasi, keadaan seperti ini memang boleh membantu mengurangkan konflik dalaman dan memudahkan parti bergerak lebih tersusun menjelang pilihan raya,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Tawfik berkata pendekatan terlalu menekankan kesetiaan turut mempunyai risiko tersendiri kerana parti mungkin kehilangan budaya semak dan imbang dalaman.
“Jika semua pandangan kritikal dilihat sebagai ancaman atau ketidaksetiaan, akhirnya parti mungkin menjadi kurang dinamik dan gagal menyesuaikan diri dengan perubahan sentimen rakyat,” katanya.
Katanya, Bersatu sebagai parti yang masih relatif muda memerlukan kepelbagaian idea, tokoh teknokrat dan pemimpin akar umbi untuk terus berkembang.
Menurutnya, jika terlalu ramai pemimpin berprofil tinggi keluar atau disingkirkan, parti boleh dilihat semakin mengecil dari segi pengaruh nasional dan kepelbagaian kepimpinan.
“Bersatu mungkin stabil secara dalaman tetapi belum tentu berkembang dari sudut sokongan nasional. Banyak parti sebelum ini stabil dari segi struktur tetapi daya penarik hilang dan hanya layak ‘masuk muzium’ berbanding berfungsi sebagai parti politik berdaya saing,” katanya.
Terdahulu, Tun Faisal berkata kini lebih banyak ruang dalam Bersatu untuk pemimpin yang setia dan berintegriti selain tindakan diambil wajar bagi memastikan mereka mematuhi disiplin serta perlembagaan parti.
Jumaat lalu, Bersatu memecat dua Adun Kedah iaitu Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang) dan Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti), serta timbalan ketua Pemuda Faiz Rahmad kerana melanggar perlembagaan parti dan kod etika dan tatalaku.
Parti turut menggantung tujuh pemimpin selama dua penggal, iaitu Adun Perak Ahmad Man (Kuala Sepetang) dan Syed Lukman Hakim Syed Zin (Chenderoh); Ahli Parlimen Perak Nordin Ahmad Ismail (Lumut); Ahli Parlimen Pahang Khalib Abdullah (Rompin); Ahli Parlimen Kelantan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Khlir Nor (Ketereh); serta Ahli Parlimen Terengganu Rosol Wahid (Hulu Terengganu).
Bersatu kini berbaki 19 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat selepas memecat enam yang lain termasuk Hamzah, sepanjang setahun lepas. Bagaimanapun, daripada 19 Ahli Parlimen tersebut, majoritinya berpihak kepada Hamzah.
Beberapa pemimpin tertinggi turut digantung termasuk Naib Presiden Ronald Kiandee (Ahli Parlimen Beluran) dan Ketua Wanita Mas Ermieyati Samsudin (Ahli Parlimen Masjid Tanah).
Sementara itu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata kenyataan Tun Faisal yang mengalu-alukan Umno menerima pemimpin ‘bermasalah’ turut memberi gambaran persaingan politik antara Bersatu dan parti tersebut untuk mendapatkan semula sokongan Melayu.
Katanya, langkah Umno membuka pintu kepada bekas pemimpin Bersatu boleh menimbulkan persepsi parti itu semakin terdesak untuk memperkukuh kedudukan politiknya.
Menurutnya, pengundi Melayu mungkin terus melihat Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan lebih konsisten dalam membawa agenda Melayu dan Islam selagi Umno gagal mengatasi persepsi berkaitan kerjasamanya dengan DAP dalam kerajaan perpaduan.