Najib, Zahid kuasa sebenar dalam BN

Presiden Umno, Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berpandangan keputusan pilihan raya kecil Chini mengesahkan kekuatan politik bekas perdana menteri Najib Razak serta kepintaran politik Presiden Umno, Zahid Hamidi.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata mereka kuasa sebenar dalam Barisan Nasional.

Beliau berkata nyata sekali Najib memiliki sokongan akar umbi, dan itu memainkan peranan penting di Chini dan pilihan raya kecil lain yang dimenangi BN sejak pilihan raya umum lalu.

“Dalam pilihan raya kecil semasa era Pakatan Harapan, Najib aktif berkempen dan menarik orang ramai.

“Ini juga boleh dilihat di Chini, apabila PH tidak lagi berkuasa. Najib ada pengaruh politik yang kuat, bukan saja di Pekan atau Pahang, tetapi juga di peringkat persekutuan.”

Mengenai Zahid, Azmi berkata beliau menunjukkan kebolehan menentukan hala tuju BN dan berunding dengan parti lain, termasuk PPBM dan Perikatan Nasional.

“Langkah Zahid menghimpunkan Umno dan PAS bersama dalam Muafakat Nasional terbukti antara sebab utama di sebalik kebangkitan BN.”

Katanya, kemenangan BN di Chini melakarkan kekuatan Muafakat Nasional, terutama dalam kalangan pengundi Melayu di luar bandar.

Mohd Sharim Md Zain dari BN menang pilihan raya kecil itu pada Sabtu dengan majoriti 12,650 undi ditentang calon Bebas, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli, masing-masing meraih 1,222 dan 137 undi.

Najib, yang juga ahli Parlimen Pekan, mengisytiharkan BN menang sebelum keputusan rasmi diumumkan.

Tetapi Azmi berkata masih belum jelas bagaimana Umno akan menghadapi pilihan raya umum akan datang kerana Zahid tidak mendedahkan apa-apa dan senario politik semasa “boleh berubah”.

“Saya fikir akar umbi lebih cenderung ke arah Muafakat Nasional berbanding Perikatan Nasional, tetapi Muafakat Nasional tidak boleh bergantung pada sokongan orang Melayu sahaja. Pemimpin Umno berbeza pandangan dalam strategi ini.”

Memandangkan tidak ada tanda-tanda Najib mahukan jawatan presiden parti, Azmi berkata Zahid nakhoda Umno dan BN.

“Tetapi dalam Umno, majlis tertinggi juga berpengaruh dalam menentukan hala tuju Umno, dan kebiasaannya ia ikut kemahuan akar umbi. Jadi Zahid perlu berhati-hati dalam menentukan langkah Umno dan BN seterusnya.”

Seorang penganalisis, Mohd Izani Mohd Zain dari Universiti Putra Malaysia, berkata impak Najib tidak boleh dinafikan.

Tetapi ini tak bermakna Najib – atau Zahid – yang harus mengetuai parti itu atau menjadi calon Umno untuk jawatan perdana menteri.

“Parti itu perlu keluar dari bayang-bayang Najib dan Zahid dan tampilkan seorang pemimpin baru yang boleh diterima sebagai alternatif kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata keputusan PRK Chini bukan sahaja kemenangan BN tetapi juga Muafakat Nasional dan Najib.

“Pengundi nampak Najib pada BN dan Muafakat Nasional dan ini jadi undi,” tambahnya.

Beliau berkata Najib main peranan penting dengan jenama “Bossku” dan catatan media sosial.