
Ismail berkata, kerusi itu perlu ditandingi Umno berdasarkan rekod kemenangan parti itu dalam pilihan raya lepas.
Kerusi itu disandang selama 4 penggal oleh Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 59 tahun, Rabu lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Khamis ini untuk membincangkan tarikh pilihan raya kecil (PRK) bagi memilih ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) baru mewakili kerusi Slim.
Pengundian mesti dijalankan dalam tempoh 60 hari selepas kerusi itu dikosongkan.
“Bagi saya, ia perlu ditanding Umno kerana parti ini memenanginya beberapa kali dan tidak ada sebab mengapa kita harus menyerahkannya kepada orang lain (parti).
“Kami akan bertanding dan presiden (parti) akan mengumumkan calon nanti kerana perkara itu belum dibincangkan,” kata Ismail.
Pada pilihan raya 2018, Khusairi dipilih untuk penggal ke-4 dengan majoriti selesa 2,183 undi berbanding pencabar daripada PPBM (ketika itu dalam Pakatan Harapan) dan PAS.
Calon PPBM, Mohd Amran Ibrahim memperoleh 6,144 undi, dan Muhammad Zulfadli Zainal daripada PAS mendapat 4,103 undi.
Umno dan PAS kini membentuk pakatan dan bekerjasama dengan PPBM dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih kuasa pada Februari berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
PH yang kini terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah, belum mengumumkan rancangan mereka.
Dilaporkan, berlaku pertikaian dalam PKR sama ada mereka akan bertanding di kerusi itu.
Minggu lalu, pengarah strategik PKR Sim Tze Tzin dilaporkan berkata, keputusan belum dibuat dan belum ada pertemuan untuk membincangkan mengenai perkara itu.
Kenyataannya dilihat bertentangan dengan pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang menyatakan parti itu akan meletakkan calon tempatan.