
Mary berkata keputusan meninggalkan parti pada 10 Julai itu “menyakitkan” namun lebih “menyakitkan” apabila melalui 10 hari tanpa parti yang diperjuangkan sejak lebih 40 tahun lepas.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong saya, mereka yang mengundi saya, dan semua pemimpin parti, terhadap sokongan, pesanan dan gesaan mereka. Sepuluh hari berlalu sejak saya umum peletakan jawatan, dan saya perlu akui ia amat ‘menyakitkan’ bagi saya meninggalkan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi DAP Negeri Sembilan Anthony Loke Siew Fook dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.
“Saya akan mematuhi semua keputusan yang dibuat parti dan saya tidak mengharapkan mereka membuat apa-apa perubahan terhadap sebarang keputusan mereka.
“Saya tidak harapkan parti membuat keputusan ‘pusingan-U’ hanya semata-mata kerana saya,” katanya, dan menambah beliau tidak mengenakan apa-apa syarat untuk kembali semula ke parti itu.
Loke berkata keputusan Mary untuk menarik semula keputusannya itu memberi mesej Pakatan Harapan di Negeri Sembilan kekal stabil untuk terus mentadbir hingga akhir tempoh penggal ini.
“Walaupun dia umum perletakan jawatan dari DAP, tetapi saya yakin 100% pada beliau, bahawa beliau tidak akan sokong pihak lawan iaitu Barisan Nasional (BN) kerana kita tahu ada ura-ura pihak BN mahu tarik Adun Rahang untuk sokong mereka.
“Bagi saya beliau tidak pernah tinggalkan DAP kerana saya amat kenali beliau dan dalam beberapa hari ini memang beliau ada nyatakan amat susah untuk dirinya hidup gembira tanpa DAP,” katanya.
Berdasarkan perkembangan terbaharu ini, Dewan Undangan Negeri Sembilan kembali kepada posisi asal iaitu PH mempunyai 20 kerusi manakala BN mempunyai 16.