Melanjutkan subsidi upah pilihan lebih baik

Melanjutkan tempoh Program Subsidi Upah (PSU) kepada 3 bulan lagi bagi syarikat yang masih menghadapi masalah aliran tunai setelah tamatnya program tersebut pilihan lebih baik daripada melanjutkan moratorium pinjaman 6 bulan kerana PSU ternyata sangat berkesan dalam melindungi rakyat dari hilang pekerjaan.

Oleh kerana sebahagian besar penangguhan (moratorium) pembayaran pinjaman berjumlah RM38.4 bilion melibatkan individu berbanding RM19.3 bilion yang melibatkan perniagaan, kita boleh mengandaikan sebab utama gesaan agar moratorium dilanjutkan adalah kebimbangan rakyat akan kehilangan pekerjaan, menghadapi pemotongan gaji atau mendapat cuti tanpa gaji.

Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung Isnin lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengatakan sekitar 65% isi rumah mendapat manfaat daripada penangguhan pembayaran pinjaman berjumlah RM38.4 bilion.

Beliau juga berkata lebih dari 2.75 juta pekerjaan berjaya dikekalkan melalui pelaksanaan PSU serta program pengekalan pekerja bawah pakej rangsangan Prihatin dan Penjana.

“Tambahan pula, lebih 800,000 perniagaan, termasuk perniagaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapat manfaat dari pakej tersebut,” katanya lagi.

Kebimbangan mengenai ketidakpastian akan berlakunya suasana rudum pada masa yang terdekat menyebabkan sebahagian besar individu yang tidak memerlukan moratorium untuk mengikut serta demi menabung untuk hari-hari sukar kerana 90% peminjam memanfaatkan moratorium tersebut, menurut tinjauan badan kaunseling kredit dan pengurusan hutang (AKPK).

Penabungan untuk hari-hari sukar itu diperkukuhkan lagi apabila tinjauan itu juga mendapati hanya 21% yang menyertai moratorium menggunakannya untuk keperluan harian berbanding 48% yang menggunakannya kerana ingin menabung bagi mengumpul dana kecemasan untuk masa-masa sukar.

Namun, dalam keadaan perkembangan ekonomi masa kini, apa yang diperlukan bukanlah tabungan untuk mengumpul dana kecemasan; sebaliknya yang penting erbelanjaan bagi mendorong peningkatan penggunaan yang merupakan salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi pada masa kemelesetan yang dijangka muncul akibat wabak Covid-19.

Pastinya rakyat akan berbelanja sewajarnya jika kebimbangan mereka mengenai kehilangan pekerjaan, potongan gaji atau mendapat cuti tanpa gaji ditenangkan melalui tindakan seperti melanjutkan (PSU).

Apa yang menarik mengenai pelaksanaan PSU adalah tidak seperti moratorium yang bersifat automatik, seorang majikan hanya perlu memohon pada bila-bila masa dari 1 April hingga 30 September untuk menyertai PSU, dengan subsidi gaji dibayar mulai bulan permohonan dikemukakan.

Ini bermakna syarikat yang memohon pada September sebelum tarikh akhir 30 September, selepas diluluskan, akan mendapat subsidi gaji 6 bulan dari September hingga Februari 2021.

Ini juga bermakna PSU tidak akan menyaksikan longgokan pelaksanaan bermula serentak pada bulan yang sama kerana syarikat yang dapat bertahan dalam berdepan masalah aliran tunai ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak akan memohon pada April kerana mereka boleh memohon kemudian, katakan pada Jun, yang seterusnya bermakna subsidi upah akan dibayar kepada mereka dari Jun hingga November.

PSU bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap syarikat untuk setiap pekerja tempatan yang memperoleh gaji RM4,000 setiap bulan dan ke bawah. Pada mulanya, subsidi ituuntuk jangka masa 3 bulan, tetapi kemudian dilanjutkan sehingga 6 bulan.

Mulai 15 Jun, program pengekalan pekerjaan (ERP) digabungkan bawah PSU, lantaran itu merangkumi pekerja yang diarahkan untuk mengambil cuti tanpa gaji, dengan syarat mereka bekerja di sektor pelancongan atau sektor lain yang masih dilarang beroperasi semasa PKP pemulihan.

Dalam hal ini, isunya mengelakkan kehilangan pekerjaan yang ramai. Rakyat akan mendapat manfaatnya berbanding moratorium yang merupakan penangguhan wajib ke 1 hari yang lain di mana manfaatnya akan dinikmati oleh mereka yang sukar memenuhi kewajipan membayar pinjaman akibat wabak Covid-19.

Menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, pembayaran pinjaman tertunda bawah moratorium dianggarkan mencecah RM55.2 bilion sehingga 13 Julai.

Melanjutkan moratorium hingga 6 bulan lagi hanya akan meningkatkan jumlah pinjaman tertunda dan membebankan industri perbankan yang memainkan peranan mereka sebelum ini dengan menyetujui untuk melepaskan pembayaran faedah kompaun dalam moratorium 6 bulan.

Ia juga akan membebankan mereka yang memilih untuk melanjutkan penangguhan moratorium dengan kewajipan masa depan untuk membayar hutang tertangguh 12 bulan kemudian terutama apabila mereka mampu memilih tidak melanjutkan tempoh penangguhan.

Lantaran itulah, Zafrul mengesyorkan jika moratorium dilanjutkan, ia harus dilakukan berdasarkan kes tertentu yang disasarkan kepada mereka yang benar-benar mengalami kesulitan untuk memenuhi kewajipan membayar pinjaman tertunda mereka. Tempoh lanjutan itu pula tidak semestinya 6 bulan kerana ia bergantung kepada keadaan peminjam bermasalah.

Semoga industri perbankan dapat sekali lagi memainkan peranan melepaskan bayaran faedah kompaun oleh kumpulan sasar para peminjam yang menghadapi kesulitan dalam keadaan mencabar ini. Lagipun, bank sememangnya mampu bermurah hati dengan penglibatan jumlah peminjam yang agak sedikit.

 

Jamari Mohtar dan Amir Jalal merupakan penyelidik di EMIR Research.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.