Pelitup muka: Bekas timbalan menteri gesa Putrajaya tidak ikut standard WHO

Pelitup muka: Bekas timbalan menteri gesa Putrajaya tidak ikut standard WHO

Kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka mulai 1 Ogos ini dan mereka yang didapati melanggar peraturan itu akan didenda RM1,000.

Kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos.
PETALING JAYA:
Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye mendesak kerajaan supaya tidak menetapkan standard dalam penggunaan pelitup muka seperti disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Jika kerajaan menetapkannya seperti saranan WHO, ramai akan berdepan masalah kerana mereka mungkin tidak memakai pelitup muka 3 lapis.

“Apa saja bentuk pelitup muka adalah berguna, malah tudung yang menutupi mulutjuga, kerana memakai pelitup muka bukan untuk melindungi pemakainya, tetapi untuk menghentikan penyebaran kepada orang lain,” katanya kepada FMT.

Kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka mulai 1 Ogos ini dan mereka yang didapati melanggar peraturan itu akan didenda RM1,000.

WHO menyarankan penggunaan pelitup muka jenis 3 lapis.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, orang ramai boleh menggunakan pelitup muka buatan sendiri selagi mengikut spesifikasi ditetapkan WHO.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menghebahkan spesifikasi itu kepada orang ramai.

Ismail berkata, sebelum ini kerajaan tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka kerana akan membebankan golongan berpendapatan rendah berikutan kebanyakan pelitup muka adalah jenis pakai buang.

Dr Lee Boon Chye.

Bagaimanapun Lee berkata, adalah sukar untuk memantau jenis pelitup muka dipakai orang ramai jika kerajaan menetapkan standard seperti disarankan WHO.

Sebaliknya beliau berkata, Putrajaya perlu mengarahkan pengeluaran besar-besaran pelitup muka jenis kain yang boleh digunakan semula dan mengedarkannya secara percuma kepada rakyat.

“Kerajaan boleh meminta syarikat tekstil menghasilkan pelitup muka jenis kain. Harganya sekitar RM100 juta dan semua orang akan memiliki pelitup muka yang boleh diguna semula secara percuma

“Sementara menunggu pelitup muka kain percuma ini, orang ramai perlu dibenarkan memakai apa saja pelitup muka, penutup kepala atau tudung kerana ia dapat mencegah penyebaran virus,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Lee turut mendesak Putrajaya supaya mengkaji semula keputusan berhubung perintah kuarantin wajib bagi individu yang memasuki negara ini.

Katanya, kuarantin perlu dilaksanakan berdasarkan negara tempat asal mereka.

Katanya, pengunjung dari negara berisiko rendah seperti Thailand, Taiwan, Vietnam, Brunei dan Singapura, mungkin tidak perlu menjalani kuarantin wajib.

“Kementerian Kesihatan perlu mengesan risikonya. Jika mereka datang dari negara dengan jangkitan Covid-19 yang lebih rendah daripada Malaysia, maka adalah tidak masuk akal untuk kuarantin mereka (selepas ujian negatif di pintu masuk),” katanya.

Beliau mencadangkan supaya KKM memperkenalkan saringan bagi individu dan negara yang perlu menjalani kuarantin wajib.

“Jika mereka berasal dari negara yang meragukan, kita harus meletakkan mereka dalam kuarantin wajib kerana negara tertentu tidak melakukan ujian yang mencukupi dan kita tidak boleh mempercayainya,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.