Keahlian Adun Warisan sokong Musa terbatal serta merta

Loretto Padua.

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua berkata tiada tindakan lanjut terhadap Adun parti itu yang menyokong Musa Aman kerana semua mereka “memecat” diri sendiri.

Katanya, mengikut perlembagaan parti, keahlian wakil rakyat yang menyertai pertubuhan lain secara automatik terbatal.

“Dalam kes ini, mereka dianggap menyertai Musa dan kumpulannya untuk menggulingkan kerajaan yang diterajui Warisan.

“Semua mereka dilihat berada di rumah Musa dan tiada seorang pun daripada mereka menafikan penglibatan mereka.

“Menurut perlembagaan Warisan, keahlian mereka akan terbatal serta-merta bawah Perkara 3.3 iaitu apabila seseorang ahli bergabung atau menjadi anggota parti politik lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Loretto berkata parti itu juga tidak berhasrat menerima semula Adun yang dianggap pengkhianat dan mendoakan yang terbaik buat mereka di masa depan.

Sebelum ini, media melaporkan Musa mendakwa memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Sekumpulan Adun daripada pemerintah Sabah termasuk daripada Warisan, Upko, PKR, dan DAP dilihat bersama Musa.

Antara Adun Warisan yang dilihat bersamanya adalah Hamisa Samat (Tanjung Batu), Osman Jamal (Balung), Bolkiah Ismail (Pitas), Masiung Banah (Kuamut), Jamawi Jaafar (Kemabong), dan Muis Picho (Sebatik).

Perkembangan itu disusuli dengan Ketua Menteri Shafie Apdal memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri, yang dibubarkan semalam, membuka laluan kepada pilihan raya negeri.