Persaingan 2 penjuru dalam PRU terserah kepada Muafakat Nasional, kata Amanah

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

KUALA LUMPUR: Timbalan presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, terserah kepada Muafakat Nasional (MN) untuk memastikan persaingan 2 penjuru dalam pilihan raya akan datang sekiranya ia mahu menjamin kemenangan.

Beliau mengulas komen presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung perjanjian antara partinya dengan Umno yang melihat peluang lebih besar sekiranya hanya bertanding 2 penjuru.

Salahuddin berkata, ia adalah masalah dalaman MN selepas menyaksikan banyak isu ketidakpuasan akhir-akhir ini dalam gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN), terutama selepas keputusan mahkamah dalam kes SRC International membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak minggu lepas.

“Kami tahu pada tengah hari Rabu lepas, ada pertemuan khusus antara kumpulan ahli Parlimen Umno dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Jadi, kalau mereka boleh memastikan (persaingan) 2 penjuru, itu terpulang kepada mereka.

“Saya nak tanya PAS ni, hati mereka sebenarnya dengan siapa? PN atau Muafakat Nasional?

“Hari ni cakap macam dengan PN […] tapi pada masa sama macam ada isyarat mereka mahu bersama dengan Muafakat Nasional.

“Jadi jelaskan, ke mana mereka nak pergi sebenarnya,” kata Salahuddin pada sidang media di Parlimen hari ini.

Dalam temu bual dengan Utusan Online, Hadi meminta MN mengambil iktibar dari keputusan pilihan raya umum 2018 dan tidak mengkhianati perjanjian piagam mereka.

“Kami sedar Umno mempunyai sokongan akar umbi. Walaupun PPBM tidak mempunyai akar umbi, mereka mempunyai pemimpin yang berpengaruh. PAS? Kami mempunyai akar umbi dan pemimpin,” katanya.

Dalam pada itu, ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir, yang hadir bersama-sama Salahuddin dalam sidang media itu, menyifatkan kenyataan Hadi sebagai “tembakan diri sendiri” kerana ia seolah-olah ditujukan kepada sekutunya dalam PN dan Muafakat Nasional.

Beliau bersependapat dengan Salahuddin dengan berkata, beban untuk memastikan pertembungan 2 penjuru adalah bergantung pada MN kerana ia mempunyai banyak “lapisan”, sambil menambah Pakatan Harapan (PH) tetap menumpukan perhatian kepada isu rakyat dan keadaan semasa.

Mengulas perkembangan terkini di Sabah, Salahuddin mengingatkan anak muda supaya memilih ahli Parlimen dan Adun yang berintegriti dan berpendirian teguh.

Beliau juga mengingatkan agar mengelak daripada mengundi “pelacur politik” yang boleh menukar sokongan dalam tempoh semalaman.

“Untuk masa depan negara, anak muda perlu memastikan mereka memilih pemimpin sejati yang konsisten dan berpendirian teguh dalam memegang mandat yang diberikan rakyat,” katanya.