
“Dengan amat sedih kami melaporkan kematian rakan sekerja kami Hedwig Waltmans-Molier. Dia meninggal dunia akibat cedera dalam letupan besar di Beirut,” kata kenyataan kementerian itu.
Waltmans-Molier terkena serpihan akibat letupan selepas kembali ke Lubnan daripada percutian bersama suaminya.
“Hedwig berdiri di ruang tamu di sebelah suaminya ketika dia terkena serpihan akibat letupan itu,” kata kementerian itu.
Wanita berusia 55 tahun itu satu-satunya warga Belanda yang dilaporkan meninggal dunia akibat letupan menggegarkan Beirut pada Selasa, membunuh sekurang-kurangnya 154 orang dan mencetuskan kemusnahan di seluruh bandar.
Lima warga Belanda yang lain cedera ringan, kata kementerian itu.