Pendakwaan fail rayuan untuk tambah tempoh penjara dan denda RM210 juta Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan diperintahkan membayar denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai.

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan memfailkan rayuan untuk menambah tempoh hukuman penjara 12 tahun dan jumlah denda RM210 juta dikenakan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak yang disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Ketua Unit Rayuan Jabatan Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar semasa dihubungi mengesahkan notis rayuan difailkan Jumaat lepas menerusi e-filing.

“Kami (pihak pendakwaan) memfailkan notis rayuan terhadap semua hukuman dan denda yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi,” katanya.

Mohd Dusuki juga berkata hari ini adalah hari terakhir bagi pihak pendakwaan dan pembelaan untuk memfailkan rayuan mereka, berikutan kedua-dua pihak mempunyai tempoh 14 hari untuk memfailkan rayuan masing-masing selepas keputusan pada 28 Julai.

Pada 30 Julai, Najib memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati beliau bersalah terhadap 7 pertuduhan membabitkan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, masing-masing bagi 3 kes CBT dan masing-masing bagi 3 kes pengubahan wang haram dan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau 5 tahun penjara jika gagal membayar denda itu bagi kes salah guna kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Najib kini bebas atas ikat jamin RM2 juta dengan 2 penjamin sementara menunggu rayuannya selesai.