Ketua balai ditahan SPRM kerana disyaki rasuah

Suspek yang merupakan pegawai polis dibawa ke Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh hari ini untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah RM6,000. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka menahan 2 pegawai polis, termasuk seorang ketua balai kerana disyaki meminta dan menerima rasuah.

Menurut sumber, 2 pegawai dari Balai Polis Tengkera itu meminta rasuah untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang ahli perniagaan yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Suspek itu, termasuk ketua balai berusia 57 tahun, ditahan dalam serbuan semalam.

“Ketika serbuan, suapan berjumlah RM6,000 ditemui di pejabat ketua balai polis itu,” kata sumber.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Melaka untuk perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Ketua SPRM Melaka, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu, tetapi enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Bernama melaporkan ketua balai itu antara 3 pegawai polis yang direman 4 hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Majistret Lee Kim Keat membenarkan permohonan SPRM untuk mereman 3 suspek – seorang sub inspektor dan 2 konstabel berusia 26, 27 serta 57 tahun – sehingga Sabtu ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.