Penjajaran semula mungkin berlaku selepas PRN Sabah, kata penganalisis

Tiada perbincangan serius antara parti di Sabah mengenai penggunaan logo sama untuk menyertai PRN akan datang, kecuali Warisan Plus. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Seorang penganalisis berkata, parti pembangkang tidak mempunyai logo menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang mungkin menyaksikan penjajaran semula politik yang besar, jika tiada parti mempunyai majoriti mutlak selepas PRN Sabah.

Rahezzal Shah Abd Karim dari Universiti Teknologi Mara Sabah, berkata tiada perbincangan serius antara parti itu mengenai penggunaan logo sama untuk menghadapi PRN.

Setakat ini, hanya Warisan Plus terdiri daripada Upko, PKR dan DAP, dilaporkan akan membincangkan kemungkinan menggunakan logo Warisan menyertai PRN.

Walaupun beliau tidak percaya penggunaan logo sama akan memberi kelebihan kepada mana-mana pihak, tetapi tidak bertanding atas tiket sama bermaksud parti itu bebas memihak kepada mana-mana parti jika menemui kebuntuan.

“Jika berlaku DUN tergantung, anda tidak boleh menolak kemungkinan apa saja gabungan yang dibentuk boleh berubah,” katanya kepada FMT.

“Di sinilah logo memainkan peranan. Kelebihan menggunakan logo sendiri ialah anda boleh membentuk gabungan dengan Warisan atau mana-mana parti dan beritahu pengundi ianya bukan pertukaran kem.

“Anda juga boleh beritahu pengundi anda sedia bekerjasama, tetapi pada masa sama, anda bebas dan tidak terikat dengan mana-mana struktur politik atau terikat dengan mana-mana pakatan.”

Rahezzal berkata, ia boleh difahami sebahagian besar parti pembangkang di Sabah mempunyai persefahaman antara satu sama lain untuk mengalahkan Warisan Plus, tetapi itu sekadar pakatan longgar.

Katanya, tidak seperti pilihan raya umum lalu, mereka tidak berada di bawah satu payung rasmi, misalnya Barisan Nasional (BN).

“Jika berlaku DUN tergantung, maka kemungkinan besar kita dapat melihat penjajaran besar-besaran antara parti politik di Sabah, tidak kira mereka berpihak kepada Umno atau PPBM, supaya mereka dapat membentuk kerajaan.”

“Anda tidak akan tahu apa bakal berlaku selepas pilihan raya. Bahkan perkara tidak terfikir boleh berlaku.

“Kita tak tahu, mungkin PBS boleh bekerjasama dengan Warisan dan parti kecil lain, daripada menyokong BN…mereka mungkin beralih menyokong Warisan. Perkara sama boleh dikatakan untuk parti dalam Warisan Plus (bertukar kem).

“Cuba bayangkan kalau perbezaan jumlah kerusi dimenangi hanya satu atau 2. Jadi, saya rasa pada masa itu, Warisan perlu realistik dan melihat kedudukannya untuk membentuk kerajaan.”

Walaupun Warisan Plus ialah pakatan pilihan raya yang jelas, tetapi bukannya bagi pembangkang, walaupun ramai yang berpihak kepada Perikatan Nasional.

Umno Sabah dijangka bertanding di bawah logo BN, bersama rakan rasmi, MCA Sabah dan Parti Bersatu Rakyat Sabah.

Baru-baru ini, PBS dilaporkan berkata, selepas 16 tahun, ia akan menggunakan simbol sendiri yang tidak asing lagi, sementara Jeffrey Kitingan, yang merupakan presiden STAR, berkata masih perlu dilihat jika satu logo umum akan digunakan pembangkang.

Kedua-dua parti berpihak kepada PN. PPBM Sabah ialah satu-satunya parti PN di negeri itu, dan ia juga dilihat akan menggunakan simbol sendiri untuk PRN itu.

Pada masa sama, Parti Liberal Demokratik (LDP) menganggap dirinya kuasa ke-3, sebagai entiti bebas.

Begitu juga Parti Cinta Sabah, yang kini diketuai bekas menteri luar, Anifah Aman, yang berkata parti itu mahu bergerak bersendirian sekarang.

Rahezzal terkejut tiada orang bercakap mengenai DUN tergantung.

“Semua ini berlaku kerana apa yang berlaku pada 2018; berlaku DUN tergantung. Disebabkan itu, ada yang bertukar kem.

“Jadi, saya rasa mulai sekarang, lebih banyak perbincangan perlu difokuskan dengan memberi tekanan kepada pembangkang dan Warisan – jika berlaku DUN tergantung, apa yang mereka akan lakukan?

“Mereka tak boleh kata akan fikir mengenainya apabila ia berlaku. Kita sudah melaluinya pada 2018 dan lihatlah di mana kita sekarang.”

Warisan-Pakatan Harapan dan BN terikat 29 kerusi daripada 60 kerusi DUN selepas PRU Mei 2018, dengan STAR memegang baki 2 kerusi, menjadikannya penentu.

Parti pembangkang kemudiannya berpihak kepada BN, dengan memberikan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, di mana Musa Aman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei 2018.

Tetapi, ia disusuli pembelotan dalam BN, dengan Adun Upko dan Umno bertukar kem dan menyokong Presiden Warisan, Shafie Apdal yang dilantik sebagai ketua menteri 2 hari kemudian.