3 ahli DAP lapor polis gesa pemimpin PAS disiasat berkait komen kitab Injil

(Dari kiri) Anthony Chin, Brolin Nicholson dan Julian Tan menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Sekama pada Ahad.

PETALING JAYA: Tiga ahli DAP Sarawak membuat laporan polis menggesa Ahli Parlimen Pasir Puteh daripada PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh disiasat di bawah Akta Hasutan susulan kenyataannya di Dewan Rakyat baru-baru ini yang mendakwa kitab Injil “dipesongkan ataupun diubah”.

Julian Tan, Brolin Nicholson, dan Anthony Chin membuat laporan itu di Balai Polis Sekama di Kuching, Sarawak.

Nicholson yang juga pembantu khas kepada Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen berkata, laporan itu dibuat supaya polis menyiasat mengapa Zawawi enggan memohon maaf kepada penganut Kristian bagi mengelakkan perkara sama berulang kepada agama lain.

“Jika beliau ingin melakukan dialog, saya bersedia berdialog dengan beliau dan meminta beliau tidak hanya berdialog dengan ahli Parlimen saja, tetapi kami juga bersedia untuk berdialog bersama beliau,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau turut mencabar Zawawi menunjukkan bukti dakwaannya melalui bukti bibliografi, arkeologi, dan ujian dalaman yang kerap digunakan sejarawan untuk menentukan kesahihan sesebuah teks purba.

“Jika benar Zawawi mempunyai PhD (doktor falsafah) dalam perbandingan agama, beliau seharusnya tahu 2 kaedah ini digunakan untuk membuktikan kesahihan sesebuah teks purba.

“Soalan yang saya ingin tujukan kepada Zawawi ialah jika benar kitab Injil telah dipesongkan, di mana ia telah dipesongkan? Siapa yang memesongkan kitab Injil tersebut dan pada tahun bila ia diubah atau dipesongkan? Kerana bagi orang Kristian, kitab Injil ialah sahih dan tidak diubah.

“Adakah Zawawi hanya membuat kenyataan berdasarkan cakap-cakap yang tiada bukti kukuh tanpa betul-betul mengkaji kitab Injil orang Kristian?”

Rabu lalu, Zawawi membuat kenyataan kontroversi itu di Dewan Rakyat ketika membahaskan rang undang-undang pindaan Akta Pengangkutan Jalan bagi menambah hukuman buat pemandu mabuk.

Ketua ulama PAS itu dilaporkan berkata, semua agama tidak mengizinkan penganutnya meminum arak, tetapi Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) meminta beliau membetulkan faktanya kerana agama lain seperti Kristian, membenarkan penganutnya minum arak, tetapi tidak sampai tahap memabukkan.

Zawawi bagaimanapun bertegas sebelum kitab Injil “dipesongkan ataupun diubah”, agama yang dibawa Nabi Isa tidak membenarkan penganutnya minum sedikit arak pun.

Beliau juga enggan memohon maaf dan berkata penganut Kristian “tiada hak tersinggung” dengan kenyataannya.

Sementara itu, Malay Mail memetik Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii yang menemani 3 ahli DAP Sarawak itu membuat laporan, berkata lebih baik membuat laporan polis daripada menggesa pihak berkuasa melarang Zawawi dan pemimpin PAS lain memasuki Sarawak.

Katanya, PAS kini boleh mempengaruhi semua dasar negara melalui kerjasamanya dengan Umno dan PPBM dalam Muafakat Nasional, blok politik terbesar di dalam negara, yang mampu menjejaskan semua rakyat.