Petros akan teroka potensi minyak, gas di Lawas, kata Abang Johari

Petros akan teroka potensi minyak, gas di Lawas, kata Abang Johari

Abang Johari berkata, potensi minyak dan gas di kawasan utara Sarawak yang sangat besar mendorong kepada cadangan membangunkan loji penapisan di Lawas.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata, pakar industri percaya daerah Lawas serta Limbang yang berjiran mempunyai simpanan rizab minyak dan gas. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Kerajaan Sarawak melalui syarikat miliknya Petroleum Sarawak (Petros) bercadang meneroka potensi minyak dan gas di Lawas, kata Ketua Menteri Abang Johari Openg.

Katanya, ini kerana pakar dalam industri berkenaan percaya daerah itu serta Limbang yang berjiran mempunyai simpanan rizab minyak dan gas.

“Kita akan beri kepada Petros untuk mengkaji sama ada (jumlah) minyak dan gas yang ada di dalamnya (mampu menghasilkan pendapatan baru kepada Sarawak),” katanya semasa berucap merasmikan konvensyen khas Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) zon utara di bandar raya Miri hari ini.

Abang Johari yang juga presiden PBB berkata, potensi minyak dan gas di kawasan utara Sarawak yang sangat besar mendorong kepada cadangan untuk membangunkan loji penapisan minyak di Lawas.

“Cadangan loji penapisan minyak di Lawas bernilai sekitar RM20.8 bilion itu akan menjadi batu loncatan kepada pembangunan di kawasan utara dan ekonomi Sarawak secara keseluruhan apabila ia menjadi kenyataan pada 2022,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang melibatkan PBB dan 3 rakan sekutu, iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) komited untuk membangunkan kawasan pedalaman negeri tersebut.

“Tanah, kawasan tarikan pelancongan dan sudut ekonomi di kawasan pedalaman, semuanya mempunyai potensi yang sangat besar untuk dikomersilkan,” katanya.

Seramai 961 perwakilan dari 17 cawangan PBB menghadiri konvensyen khas itu yang diadakan dalam skala lebih kecil berbanding kebiasaan sebagai mematuhi prosedur operasi standard untuk membendung Covid-19.

Selain bandar raya Miri, konvensyen serupa bakal diadakan di Betong, Sibu dan Kuching.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.