
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Sarawak sudah buat perbelanjaan besar bagi persiapan, termasuk logistik dan tempahan penginapan.
“Deposit telah dibayar dan atlet kita juga telah dihantar ke merata tempat, termasuk ke luar negara, untuk menjalani latihan,” katanya dipetik Dayak Daily sebagai berkata.
Karim turut berkata penangguhan Sukma boleh menyebabkan ramai atlet tidak dapat mengambil bahagian kerana mereka akan melebihi had umur 21 tahun yang ditetapkan.
“Kita juga tidak tahu bila perang di Timur Tengah akan berakhir. Jadi penangguhan boleh menyebabkan temasya ini ditunda ke tahun hadapan atau lebih lewat lagi.”
Pada Isnin, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, mencadangkan agar negeri itu menangguhkan penganjuran Sukma tahun ini susulan konflik di Timur Tengah.
Baginda bertitah penganjuran temasya pelbagai sukan itu dari 15 hingga 24 Ogos akan melibatkan kos yang besar.
Awal bulan ini, Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari, berkata Sukma tahun ini akan dilaksanakan dalam skala lebih kecil susulan krisis tenaga global dan kesan ekonomi yang timbul.
Karim berkata beliau menghormati cadangan Sultan Selangor untuk menangguhkan temasya tersebut, namun keputusan akhir perlu mengambil kira implikasi lebih luas yang melibatkan semua negeri.
“Bukan Sarawak sahaja yang membuat persiapan. Semua negeri telah membuat persiapan besar yang melibatkan kos jutaan ringgit. Banyak deposit tidak boleh dipulangkan dan usaha latihan, termasuk di luar negara, akan menjadi sia-sia jika temasya ini ditangguhkan.”
Semalam, kerajaan Kelantan juga menyatakan harapan agar Sukma 2026 diteruskan seperti dirancang, walaupun dalam skala lebih kecil.
Exco Belia, Sukan, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad, berkata penangguhan temasya boleh memberi kesan langsung terhadap prestasi dan semangat atlet negeri.
Beliau turut berkata kerajaan negeri telah membuat persiapan hampir dua tahun sejak Sukma 2024 di Sarawak, melibatkan komitmen besar dari segi masa, usaha dan kewangan.