
Perasmian sidang itu disempurnakan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini.
“Persidangan DUN Negeri Sembilan ditangguhkan hingga suatu tarikh yang sesuai mengikut keadaan,” kata Aminuddin menurut Berita Harian.
Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan MK Ibrahim Abd Rahman pula tidak memperincikan alasan penangguhan.
“Perasmian hari ini adalah titah Tuanku sahaja. Ia persidangan pertama penggal keempat dan ditangguhkan hingga tarikh yang akan diberitahu kelak.
“Kerajaan akan dapatkan suatu tarikh yang sesuai dan Tuanku perkenankan dan kita akan edarkan notis balik,” katanya.
Istiadat perasmian hari ini berlangsung tanpa kehadiran Undang yang empat dan Tunku Besar Tampin seperti kelazimannya.
Ia susulan krisis apabila undang luak menggunakan kuasa mereka untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar ketika Undang Sungei Ujong pula didakwa sudah dipecat.
Semalam, Bernama melaporkan secara lazimnya majlis turut dihadiri Tunku Besar Tampin dan Undang yang empat namun susulan kemelut berlaku baru-baru ini, kehadiran mereka mencetuskan tanda tanya.
Sebelum ini, Aminuddin memaklumkan tindakan Mubarak Dohak yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz di Balai Undang Luak Sungei Ujong tidak boleh diterima atau diiktiraf.