Jeffrey harap isu kerusi selesai

Jeffrey harap isu kerusi selesai

Katanya setiap parti menetapkan mereka sebagai parti berbilang kaum, oleh itu menginginkan kerusi yang hampir sama.

Jeffrey Kitingan berkata STAR berharap diberikan 15 hingga 18 kerusi bagi PRN Sabah.
KOTA KINABALU:
Presiden STAR Jeffrey Kitingan berharap mesyuarat terakhir akan menyelesaikan rundingan kerusi dengan parti pembangkang tempatan lain bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambunan itu berkata, mesyuarat hari ini diharap dapat menangani kebuntuan rundingan dengan parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan sekutunya, seperti Parti Bersatu Sabah (PBS).

Katanya, setiap parti menetapkan mereka sebagai parti berbilang kaum, oleh itu menginginkan kerusi yang hampir sama.

“Jadi, kami berharap hari ini dapat menyelesaikan semuanya.”

Menjawab pertanyaan langkah seterusnya jika STAR tidak memperoleh jumlah kerusi diinginkan, beliau berkata: “Tidak perlu bercakap soal itu. Kami bermesyuarat terlebih dahulu.”

Jeffrey dilaporkan keluar daripada mesyuarat PN di Kuala Lumpur semalam selepas kecewa dengan keputusan rundingan kerusi itu.

Ahli Parlimen Keningau itu dipetik oleh Astro Awani sebagai berkata, mengancam menarik diripada PN jika STAR tidak mendapat 15 kerusi yang diinginkan.

Jeffrey berkata, parti itu mahukan kerusi kerana ia sebahagian daripada aspirasi rakyat untuk melihat parti tempatan menerajui pentadbiran negeri.

“Kami yakin STAR boleh menang lebih banyak kerusi dalam pilihan raya negeri kali ini dan bersedia untuk bertanding 15 hingga 18 kerusi jika diberi peluang.

“Tetapi, sekiranya STAR hanya diberi 6 atau 8 kerusi, baik kami bertanding sendiri,” katanya dipetik sebagai berkata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.