Cubaan bunuh diri menurun ketika Covid-19, kata menteri kesihatan

Cubaan bunuh diri menurun ketika Covid-19, kata menteri kesihatan

Kementerian Kesihatan melaporkan 465 cubaan membunuh diri antara Januari dan Jun lalu, penurunan 210 kes berbanding tempoh sama 2019.

Dr Adham Baba (3 dari kanan) bergambar dengan Penaung Diraja Miasa, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Sultan Abdullah (3 dari kiri) selepas pelancaran pusat aktiviti dan pengurusan krisis Miasa di Orchid Clubhouse hari ini. Turut hadir Presiden Miasa, Anita Abu Bakar (2 dari kiri). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata, kadar cubaan membunuh diri menurun dalam 6 bulan pertama tahun ini, walaupun berlaku penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, kementeriannya melaporkan 465 cubaan membunuh diri antara Januari dan Jun lalu.

Individu terbabit sudah diberikan rawatan di hospital kerajaan.

“Terdapat penurunan 210 kes berbanding tempoh sama tahun lepas,” katanya selepas melancarkan pusat krisis yang ditubuhkan Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa) di sini, hari ini.

Terdahulu, Adham berkata 11,791 panggilan diterima talian bantuan kerajaan antara 25 Mac hingga bulan lalu.

Katanya, 50% daripada pemanggil itu mendapatkan sokongan emosi dan ia termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan serta mengalami tekanan dan kebimbangan.

Ada juga pemanggil yang meminta bantuan kerana keganasan rumah tangga (8%), meminta maklumat mengenai Covid-19 (17%), mendapatkan bantuan akibat masalah kewangan (7.4%) dan masalah kesihatan mental (3.4%).

Di peringkat global, katanya, lebih 800,000 kematian akibat bunuh diri dicatatkan, ia bersamaan satu kes bunuh diri setiap 40 saat.

Mengenai gesaan untuk dekriminalisasi cubaan bunuh diri, Adham berkata, Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji undang-undang berkaitan.

Katanya, kerajaan sedang mengkaji Seksyen 305 dan 309 untuk mengelakkan hukuman berganda ke atas individu yang menghadapi masalah psikologi.

Terdahulu, Miasa melancarkan pusat aktiviti dan pengurusan krisisnya di Orchid Clubhouse sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia hari ini.

Ia adalah yang pertama di negara ini, individu yang mengalami atau sedang pulih daripada keadaan kesihatan mental kini mempunyai ruang selamat untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat yang bersatu menyokong pemulihan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.