42 ahli Parlimen DAP sokong Anwar PM sekiranya cukup bilangan bentuk kerajaan, kata Guan Eng

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata selaras keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan, 42 ahli Parlimen DAP akan memberikan sokongan kepada Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri sekiranya beliau cukup bilangan untuk membentuk kerajaan.

PETALING JAYA: DAP hari ini mengesahkan 42 ahli Parlimennya akan memberikan sokongan kepada Anwar Ibrahim, sekiranya presiden PKR itu mempunyai cukup bilangan ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, pihaknya ambil maklum mengenai pengumuman Anwar, yang mendakwa cukup sokongan ahli Parlimen untuk menuju ke Putrajaya.

“Kami mengambil maklum pengumuman tadi bahawa beliau mempunyai sokongan ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan persekutuan.

“Selaras dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan, 42 ahli Parlimen DAP akan memberikan sokongan kepada Anwar sebagai perdana menteri sekiranya beliau cukup bilangan untuk membentuk kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Anwar mengumumkan beliau mendapat “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin tumbang dan beliau akan menghadap Agong dalam masa terdekat.

Anwar turut mengumumkan beliau membentuk pakatan baru dengan rakan baru.

Daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, PH mempunyai 91 ahli Parlimen, Warisan (9), dan PSB (2). Enam lagi ahli Parlimen daripada kumpulan penyokong Dr Mahathir Mohamad dan seorang wakil rakyat bebas.

BN pula mempunyai 43 kerusi, PPBM (31), PAS (18), GPS (18), PBS (1) dan STAR (1).