GRS namakan Hajiji Noor sebagai ketua menteri Sabah ke-16

Ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor (tengah, sut coklat), Ketua BN Sabah, Bung Moktar Radin (di kanannya), dan pemimpin GRS lain pada sidang media pagi tadi.

KOTA KINABALU: Hajiji Noor dari PPBM dinamakan sebagai ketua menteri Sabah ke-16 hari ini oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selepas perbincangan antara Perikatan Nasional, Barisan Nasional, dan PBS akhirnya mencapai kata sepakat menyusuli kemenangannya pada pilihan raya negeri pada Sabtu.

“Ya, GRS sebulat suara memilih saya sebagai ketua menteri,” kata ketua PPBM Sabah itu pada sidang media hari ini, disambut tepukan gemuruh daripada penyokong.

Ahli politik berusia 65 tahun itu menggantikan Shafie Apdal, 62, yang penggalnya berakhir lebih awal ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 30 Julai, selepas sokongan majoriti kerajaan Warisan Plus pimpinannya tergugat dengan peralihan sokongan 14 Adun kepada bekas ketua menteri, Musa Aman.

Hajiji dijadualkan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, esok 10.30 pagi.

Pelantikan Hajiji ini ketika Sabah berdepan cabaran ekonomi dan kesihatan yang serius, antaranya berikutan Covid-19 yang amat menjejaskan ekonomi tempatan dan serata dunia.

Semasa berkempen di Sabah, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyeru pengundi memilih kerajaan negeri yang sehaluan dengan persekutuan, mengatakan lebih banyak bantuan dan peruntukan dapat disalurkan ke Sabah jika Kota Kinabalu dan Putrajaya dapat bekerjasama.

Pada Sabtu, GRS mendapat majoriti mudah 38 kerusi untuk membentuk kerajaan. Daripada jumlah itu, kerusi terbanyak dimenangi PN iaitu sebanyak 17 kerusi, diikuti BN 14 kerusi, dan PBS 7 kerusi.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Kabinet negeri termasuk timbalannya akan diumumkan selepas beliau mengangkat sumpah esok.

“Yang penting ketua menteri akan angkat sumpah, kita sudah bersetuju dan kita hanya namakan seorang calon ketua menteri.

“Soal timbalan, saya akan dedahkan selepas angkat sumpah,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan baharu yang akan ditubuhkan akan berusaha untuk menunaikan manifesto “Aku Janji”mereka.

“Inilah mandat rakyat yang diberikan kepada kami. Kami akan tunaikan tanggungjawab ini kepada rakyat untuk terus maju ke depan, bela rakyat dan tunaikan ‘Aku Janji’,” katanya.

Sementara itu, Ketua BN Sabah, Bung Moktar Radin berkata keputusan yang dicapai GRS itu dibuat atas dasar kesedaran dan keyakinan untuk memulihkan semula semangat rakyat yang hilang bawah pimpinan Warisan Plus.

“Ini tanggungjawab besar, saya yakin selesai saja hari esok, Hajiji bersama-sama dengan kami akan memulakan langkah untuk pastikan rakyat menjadi perhatian.

“Semua rakyat harus berhenti bermain politik kerana yang penting kita selesaikan masalah rakyat,” katanya.