
“Hari ini, saya meninjau di lapangan mangsa kebakaran Kampung Bahagia. Kerajaan negeri amat bersimpati dengan keadaan ini. Saya lihat ini kebakaran agak besar melibatkan hampir 1,000 rumah yang musnah.
“…kita memberi bantuan permulaan kepada mangsa kebakaran ini sebanyak RM2,000. RM1,000 daripada kerajaan negeri dan RM1,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah,” katanya dalam kenyataan selepas meninjau pusat pemindahan sementara dan lokasi kebakaran di Sandakan.
Beliau berkata, bantuan diserahkan kepada semua ketua isi rumah (KIR) tanpa mengira warganegara kerana 70% mangsa bukan warga tempatan.
“Bantuan untuk mangsa ini kita akan bagi semua KIR, sebanyak RM2,000 seorang. Kita tidak peduli dia warganegara, bukan warganegara, kita kerajaan yang prihatin, kita bagi bantuan seluruhnya.”
Hajiji berkata, beliau mencadangkan Kampung Bahagia disusun semula sebagai penempatan baharu yang sah buat mangsa terjejas.
Tetapi, katanya, cadangan itu masih di peringkat awal dan kerajaan negeri sedang menunggu laporan penuh Jawatankuasa Bencana Sandakan.
Katanya, kerajaan negeri juga sedang meneliti cadangan pembangunan semula kawasan itu, termasuk kemungkinan menimbusnya untuk pembinaan rumah.
Menurutnya, kawasan itu pernah dijadikan penempatan pelarian di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), tetapi status itu telah ditamatkan.