
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, setakat pukul 7.30 pagi tadi, pencemaran masih lagi dikesan dengan sampel air adalah 5 TON (ukuran kadar bau) di Bukit Tampoi dan 7 TON di Sungai Semenyih.
Tambah beliau, sehingga kini, Air Selangor tidak dapat menentukan pemulihan gangguan bekalan air tidak berjadual itu.
“Dalam tempoh lebih 14 jam ini, Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 602 juta liter air sehari untuk dibekalkan kepada para pengguna di 274 kawasan.
“Air Selangor menyarankan para pengguna untuk mengambil bantuan bekalan air alternatif di pili-pili awam kerana bantuan melalui lori-lori tangki air diutamakan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lebih 300,000 penduduk mengalami gangguan bekalan air melibatkan 4 wilayah di Selangor susulan penutupan loji rawatan air (LRA) akibat pencemaran sungai semalam.
Air Selangor berkata, LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke loji itu.
Sementara itu, Amirudin berkata pihak kerajaan negeri Negeri Sembilan serta Jabatan Alam Sekitar negeri itu telah dihubungi bagi memaklumkan mengenai perkara berkenaan.
Henti tugas loji itu telah menyebabkan 274 kawasan terjejas, iaitu 309,687 akaun pengguna, mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual dan melibatkan 4 wilayah, iaitu wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.
Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata siasatan awal mendapati pencemaran bau itu mengalir ke Sungai Semenyih dari Sungai Batang Benar yang berhampiran dengan kawasan perindustrian itu.