
Jabatan Kebajikan Masyarakat menerusi aplikasi InfoBencana memaklumkan sebuah lagi PPB dibuka di Kota Belud iaitu Sekolah Menengah Agama Tun Said yang menempatkan 7 mangsa.
Jumlah mangsa di 3 lagi pusat pemindahan banjir di daerah itu tidak berubah sejak malam tadi, iaitu Dewan Masyarakat Tun Said masih menempatkan 131 mangsa, Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan Kota Belud (60 mangsa) dan Dewan Muhibbah Tombol (9 mangsa).
Di Tuaran, mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Seri Sulaman meningkat kepada 77 orang berbanding 10 orang malam tadi manakala di Dewan Masyarakat Menggatal di sini kekal dengan 3 mangsa.
Semua mangsa banjir itu melibatkan 32 kampung dan beberapa laluan juga tidak dapat dilalui oleh semua kenderaan antaranya Jalan Kampung Bobot, Jalan Siasai Tamu dan Jalan Kampung Linau.
Setakat 8.40 malam tadi, seramai 213 mangsa banjir daripada 64 keluarga dipindahkan ke 5 buah PPB di sekitar negeri ini.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan notis amaran cuaca buruk di beberapa daerah di Sabah sehingga hari ini manakala pagi ini, cuaca mendung di Kota Kinabalu.