Polis Kelantan kesan ada pegawai, anggota enggan terima vaksin

Polis Kelantan kesan ada pegawai, anggota enggan terima vaksin

Ketua polis Kelantan berkata, pegawai dan anggota terlibat akan dipanggil dalam masa terdekat untuk mengetahui faktor mereka enggan menerima vaksin.

Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata, pihaknya tidak mahu ada kalangan anggotanya terpengaruh dengan kumpulan antivaksin, sedangkan mereka sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat.
KOTA BHARU:
Polis Kelantan mengesan segelintir pegawai dan anggotanya enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Polis Negeri, Shafien Mamat berkata, perkara itu dikesan menerusi surat persetujuan yang perlu ditandatangani pegawai dan anggota sebelum menerima suntikan vaksin.

Justeru, beliau berkata, pegawai dan anggota terlibat akan dipanggil dalam masa terdekat untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan terperinci faktor yang menyebabkan mereka enggan menerima vaksin tersebut.

“Sekiranya mereka mempunyai penyakit seperti asma, mengandung, penyakit kronik dan lain-lain, itu akan terkecuali,” katanya selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Shafien berkata, pihaknya tidak mahu ada kalangan anggotanya terpengaruh dengan kumpulan antivaksin, sedangkan mereka sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejumlah 1,018 daripada 3,922 pegawai dan anggota polis di seluruh Kelantan sudah menerima vaksin setakat semalam.

“Seramai 2,547 pegawai dan anggota akan disuntik bagi fasa pertama yang bermula awal bulan ini. Kita masih menunggu vaksin tambahan untuk kegunaan pegawai dan anggota di tiga daerah, iaitu Kota Bharu, Kuala Krai dan Pasir Mas.”

Pada 25 Feb lalu, Kelantan menerima 18,720 dos vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech bagi fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilaksanakan secara berperingkat di negeri itu, dengan 31 lokasi dikenal pasti sebagai pusat pemberian vaksin (PPV).

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin itu sebagai simbolik pelancaran program imunisasi di peringkat negeri 2 Mac lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.