Ahli Parlimen pembangkang Thai kelar lengan rayu perubahan politik

Ahli Parlimen pembangkang Thai kelar lengan rayu perubahan politik

Ahli Parlimen Chiang Rai dari Parti Pheu Thai, Visarn Techatheerawat berkata, beliau tidak dapat memikirkan cara lain untuk menyelesaikan ketengan politik semasa tanpa darah.

Penunjuk perasaan pro-demokrasi menunjukkan penghormatan 3 jari dalam protes anti-kerajaan di luar Kedutaan Jerman di tengah Bangkok Isnin lalu, ketika penggubal undang-undang berbahas dalam sidang khas Parlimen untuk menangani ketegangan politik. (Gambar AP)
BANGKOK:
Seorang ahli Parlimen pembangkang Thailand mengelar lengannya 3 kali dengan pisau kecil dalam rayuan emosionalnya meminta kerajaan menyelesaikan situasi politik di negara itu, ketika sesi khas Parlimen semalam.

Ahli Parlimen Chiang Rai dari Parti Pheu Thai, Visarn Techatheerawat mengelar lengannya pada akhir sesi perbahasannya untuk memberi penjelasan mengenai ketegangan politik semasa selepas ribuan penunjuk perasaan antikerajaan berarak di jalanan beberapa minggu kebelakangan ini bagi menuntut perubahan politik, termasuk Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha meletak jawatan.

Sebelum mengelar lengannya, Visarn yang menjadi ahli Parlimen sejak 1986, berkata “Kita harus melakukan sesuatu hari ini”.

“Saya hormat Parlimen. Saya tidak berani melakukan sesuatu yang bertentangan, tetapi saya tidak dapat memikir bagaimana menyelesaikan masalah tanpa darah.

“Permintaan saya mungkin bertentangan peraturan Dewan, tetapi saya harus meminta kebenaran agar darah saya diambil untuk menunjukkan kepada Prayuth niat saya,” katanya sebelum mengeluarkan pisau kecil dari begnya.

Permintaan itu terus dihalang Speaker Dewan, Chuan Leekpai yang berkata: “Saya enggan memberi kebenaran”.

Tetapi, Visarn tidak mengendahkannya dan terus mengelar lengannya 3 kali.

Sesi khas Parlimen itu bersambung selepas beliau dikejarkan ke Hospital Vajira dan lukanya dijahit.

Ketika ditemui media di Parlimen selepas mendapat rawatan di hospital, Visarn meminta maaf atas tindakannya.

“Saya merancang untuk mengelar diri sejak 17 Okt lagi sebagai protes kepada kerajaan. Saya mahu menyampaikan mesej kepada perdana menteri supaya dengar gesaan rakyat dan pelajar dalam menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Parlimen Thailand memulakan sesi khas pada Isnin lalu untuk membincangkan protes yang sedang diadakan bagi menuntut perubahan politik.

Sejak pertengahan Julai lalu, penunjuk perasaan berkumpul di Bangkok dan bandar lain, mengulangi tuntutan mereka untuk perubahan politik, termasuk perdana menteri meletak jawatan, membubarkan Parlimen, meminda Perlembagaan dan reformasi monarki.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.