
Menurut seorang doktor kanan, Pramod Khandate, tujuh lagi bayi yang baru lahir di hospital daerah Bhandara itu bagaimanapun berjaya diselamatkan kakitangan hospital terbabit. Malangnya api terlalu marak dan mereka tidak dapat masuk semula menyelamatkan 10 yang lain.
Semua bayi yang maut berusia antara beberapa hari dan tiga bulan, menurut laporan.
“Punca kebakaran belum diketahui tetapi kakitangan kami memadamkan api secepat mungkin. Asap menyebabkan bayi-bayi itu lemas,” kata Khandate.
Jururawat yang bertugas menyedari kebakaran itu datang dari unit terbabit dan membunyikan penggera.
Pasukan bomba dilaporkan berjaya memadam kebakaran dari merebak ke bahagian lain di hospital itu dan pesakit lain juga berjaya dipindahkan tempat selamat.
“Tragedi yang menyayat hati di Bhandara, Maharashtra, dengan kehilangan nyawa kecil yang berharga,” kata Perdana Menteri Narendra Modi di Twitter. Pemimpin pembangkang, Rahul Gandhi menyifatkan kematian itu sebagai “sangat tragis”.
Dalam pada itu, pihak berkuasa memerintahkan siasatan segera dibuat dengan kes ini mencetuskan keraguan mengenai keselamatan hospital di negara itu. Pada 2011, lebih 90 orang dilaporkan terbunuh dalam satu kebakaran di hospital Kolkata.
Kebakaran di sebuah hospital di Ahmedabad pada Ogos lepas membunuh lapan pesakit Covid-19. Lima lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia akibat kebakaran di sebuah klinik di Rajkot pada November.
Susulan kejadian terbaru itu, Mahkamah Agung meminta laporan keselamatan dari hospital-hospital yang merawat pesakit Covid-19.