Perompak bank warga Kanada dipenjara 5 tahun di Singapura, namun terlepas sebatan

Perompak bank warga Kanada dipenjara 5 tahun di Singapura, namun terlepas sebatan

David James Roach merompak sebuah cawangan Standard Chartered Bank pada 2016.

David James Roach tiba di Singapura pada 17 Mac 2020 untuk menghadapi tuduhan rompakan dan pengubahan wang haram. (Gambar AFP)
SINGAPURA:
Seorang lelaki warga Kanada yang merompak bank di Singapura dijatuhi hukuman penjara lima tahun, namun terlepas daripada hukuman sebatan kerana perjanjian yang membenarkannya diekstradisi.

David James Roach, yang merompak sebuah cawangan Standard Chartered Bank pada 2016, diekstradisi dari Britain ke Singapura tahun lalu setelah Singapura memberi jaminan dia tidak akan disebat.

Roach mengaku bersalah atas satu tuduhan merompak bank dan satu lagi tuduhan pengubahan wang kerana membawa wang yang dicuri keluar dari negara.

Semalam, sebuah mahkamah di Singapura menjatuhkan hukuman penjara dan enam sebatan – sebuah hukuman mandatori bagi kesalahan merompak di negara itu – ke atas Roach.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri Singapura dan Pejabat Peguam Negara berkata, mereka berusaha “melalui prosedur yang diperlukan untuk memenuhi jaminan yang diberikan kepada kerajaan United Kingdom” bahawa Roach akan terhindar daripada sebatan.

Lelaki berusia 31 tahun itu berjalan masuk ke dalam bank dan merompak sejumlah SGD30,000 selepas menyerahkan nota ancaman dalam sebuah kejadian yang jarang berlaku di salah sebuah negara yang mempunyai kadar jenayah terendah di dunia.

Dia kemudian melarikan diri ke Bangkok, di mana dia dipenjarakan atas tuduhan berkait tindakannya membawa masuk wang hasil rompakan ke Thailand, namun pihak berkuasa enggan menghantarnya kembali ke Singapura kerana dua negara berkenaan tidak mempunyai perjanjian ekstradisi.

Selepas dibebaskan, Roach ditahan di Lapangan Terbang Heathrow di London semasa transit dalam perjalanan ke Kanada, dan Singapura memohon untuk mendapatkannya kembali.

Singapura dan Britain memeterai perjanjian ekstradisi, namun London hanya akan memulangkan Roach kepada Singapura dengan jaminan dia tidak dijatuhkan hukuman berbentuk fizikal.

Sebatan dengan rotan berat adalah hukuman lazim di Singapura, warisan penjajahan British.

Namun, Britain memansuhkan hukuman sebatan beberapa dekad lalu dan enggan mengekstradisi sesiapa ke negara yang masih melaksanakan hukuman berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.