Bolsonaro ‘tidak akan menjawab’ dalam siasatan penyelewengan

Bolsonaro ‘tidak akan menjawab’ dalam siasatan penyelewengan

Presiden Brazil itu dituduh bersubahat bersama sekutunya membeli vaksin dari India berharga lebih daripada nilai pasaran untuk kegunaan rakyatnya bagi menangani pandemik Covid-19.

Jair Bolsonaro mendakwa senator hanya berminat untuk menjatuhkan kerajaan.(Gambar AP)

BRASÍLIA: Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, menggunakan bahasa jelik ditujukan kepada jawatankuasa siasatan Senat susulan keengganannya menjawab dakwaan penyelewengan pembelian vaksin, Khamis lalu.

Inkuiri Jawatankuasa Parlimen Senat, dikenali sebagai CPI dalam akronim Bahasa Portugis, sudah beberapa minggu melakukan siasatan terhadap pentadbiran Bolsonaro ketika pandemik koronavirus di negara itu.

“Anda tahu apa jawapan saya?” kata Bolsonaro dalam siaran mingguan di media sosialnya.

“Pergi jahanam dengan CPI. Saya tidak akan menjawab,” katanya.

Senator dalam jawatankuasa itu mengemukakan permintaan kepada Bolsonaro untuk menjawab dakwaan pembelian vaksin buatan India, Covaxin, membabitkan penyelewengan jutaan dolar oleh sekutunya, yang mana diketahui sendiri oleh presiden Brazil itu.

“Saya tidak akan menjawab perkara membabitkan situasi hipotesis kepada orang seperti mereka,” kata Bolsonaro dengan nada marah, sambil mendakwa senator “tidak pernah mengambil berat terhadap kebenaran, tetapi berkepentingan untuk menjatuhkan kerajaan”.

Dalam satu surat dikeluarkan tiga senator mengetuai jawatankuasa itu – Omar Aziz, Randolfe Rodrigues dan Renan Calheiros, selepas 13 hari dakwaan itu dihadapkan kepada Bolsonaro, beliau belum secara “kategori” jelas menolak “dakwaan serius ditujukan kepada dirinya”.

Pegawai kementerian kesihatan negara itu, sebelum ini memaklumkan kepada senator bahawa pegawai atasan memberi tekanan “luar biasa, berlebihan” kepada dirinya bagi meluluskan perjanjian pembayaran pembelian vaksin dari India yang disyaki dikenakan berlipat ganda.

Pegawai itu juga berkata, beliau sudah memaklumkan perkara terbabit kepada Bolsonaro Mac lalu, namun presiden itu gagal memberikan maklumat kepada polis.

Susulan itu, peguam negara melihat kemungkinan sama ada Bolsonaro terbabit dalam melindunginya.

Pada Rabu, Omar mengarahkan penangkapan bekas pengarah kementerian kesihatan Brazil atas tuduhan membuat kenyataan bersumpah palsu membabitkan kes penyelewengan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.