
MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya 49 migran haram terbunuh pada Khamis, apabila sebuah trak treler terbalik di selatan Mexico, kata pihak berkuasa.
Treler yang membawa mereka, kebanyakannya dari Amerika Tengah, terbalik di lebuh raya berhampiran Tuxtla Gutierrez, ibu kota negeri selatan Chiapas.
Xinhua memetik Ketua Agensi Perlindungan Awam Chiapas, Luis Manuel Garcia berkata, 58 lagi cedera, dengan tiga dalam keadaan serius.
Katanya, kegagalan mekanikal menyebabkan trak itu melanggar tembok penghadang di selekoh sebelum merempuh jambatan pejalan kaki yang menyebabkan kontena kargo itu terpisah dan terbalik.