Individu dikesan rentas DMZ kemungkinan pembelot, kata Korea Selatan

Individu dikesan rentas DMZ kemungkinan pembelot, kata Korea Selatan

Ketua Turus Bersama (JCS) Korea Selatan berkata, pihaknya telah melancarkan operasi pencarian selepas mengesan individu itu di sebelah timur DMZ yang memisahkan kedua-dua negara berkenaan, Sabtu lalu.

Kelihatan pos pengawal tentera Korea Utara (belakang) dan Korea Selatan di Paju, berhampiran sempadan kedua-dua negara itu semalam. (Gambar AP)
SEOUL:
Individu yang dikesan merentas sempadan dari Korea Selatan memasuki Korea Utara pada minggu lalu, berkemungkinan rakyat Korea Utara yang berpaling tadah ke Korea Selatan sebelum ini, kata Kementerian Pertahanan Seoul hari ini.

Ketua Turus Bersama (JCS) Korea Selatan berkata, pihaknya telah melancarkan operasi pencarian selepas mengesan individu itu di sebelah timur Zon Bebas Tentera (DMZ) yang memisahkan kedua-dua negara berkenaan, Sabtu lalu.

“Pihak berkuasa menganggap berkemungkinan individu itu adalah rakyat Korea Utara yang berpaling tadah, dan kini dalam proses mengesahkan fakta berkaitan,” kata kementerian itu dalam kenyataan.

Pembelot itu dipercayai menggunakan pengalamannya sebagai ahli gimnastik, untuk melepasi pagar sempadan dan berpaling tadah ke Korea Selatan melalui DMZ di kawasan sama pada Nov 2020, lapor Agensi Berita Yonhap tanpa mendedahkan identiti individu berkenaan.

Kegiatan merentas sempadan itu yang diharamkan di Korea Selatan, berlaku ketika Korea Utara melaksanakan langkah ketat mengekang penularan Covid-19 sejak menutup sempadan pada awal 2020, meskipun tiada sebarang jangkitan disahkan setakat ini.

Walaupun ribuan rakyat Korea Utara kini menetap di Korea Selatan, tindakan merentas DMZ jarang berlaku dengan kebanyakan mereka yang berpaling tadah memilih untuk menggunakan laluan China.

Mereka yang berpaling tadah dari Korea Selatan ke Korea Utara dengan melalui DMZ lebih lagi jarang berlaku, dengan hanya sejumlah kecil kes direkodkan sepanjang tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Walau bagaimanapun, beberapa insiden baru-baru ini telah menimbulkan kebimbangan di Korea Selatan mengenai keselamatan atau kelewatan respons oleh tentera yang mengawal sempadan.

Apabila pembelot disyaki menyeberang dari Korea Utara pada 2020, dia tidak ditahan sehingga 14 jam selepas menyeberangi sempadan, mendorong ikrar daripada tentera Korea Selatan untuk meningkatkan kawalan keselamatan.

Dalam kejadian pada Sabtu, kehadiran individu itu berhampiran sempadan tidak disedari selama hampir tiga jam selepas kamera CCTV merakam individu berkenaan memanjat pagar dan tersandung pada penggera, kata tentera dalam taklimat pada Ahad.

Tentera Korea Selatan melancarkan operasi mencari selepas mengesan individu itu pada jam 9.20 malam tetapi tidak dapat menghentikannya menyeberang ke Korea Utara sekitar jam 10.40 malam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.