Presiden UAE meninggal dunia pada usia 73

Presiden UAE meninggal dunia pada usia 73

Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan hampir tidak terlibat dalam hal ehwal awam dan menyerahkan tugas pemerintahan negara kepada Putera Mahkota Abu Dhabi, Mohamed Zayed.

Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan memerintah Emiriah Arab Bersatu sejak 2004. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan meninggal dunia pada usia 73 tahun selepas berehat lama akibat sakit, lapor Bernama.

Menurut laporan agensi berita Emirates (WAM) pada Jumaat, memetik kementerian hal ehwal presiden, beliau yang memerintah sejak 2004 itu adalah anak sulung pengasas Emirates, Zayed Al Nahyan.

Dalam beberapa tahun terakhir, Sheikh Khalifa hampir tidak terlibat dalam hal ehwal awam dan menyerahkan tugas pemerintahan negara kepada Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga presiden UAE itu.

Susulan berita kemangkatan Sheikh Khalifa, Agong telah menghubungi Sheikh Mohamed Zayed untuk menzahirkan ucapan takziah secara peribadi.

Istiadat penghormatan terakhir Sheikh Khalifa dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 16 Mei.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut menzahirkan ucapan takziah kepada naib presiden dan Perdana Menteri UAE Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum dan rakyat negara itu atas kemangkatan Sheikh Khalifa.

Ismail berkata beliau sedih apabila mendapat perkhabaran mengenai kemangkatan Pemerintah Abu Dhabi itu yang disifatkannya sebagai pemimpin berwawasan serta telah berjasa besar kepada kemajuan dan kemakmuran UAE.

“Semoga Allah SWT merahmati Yang Mulia Almarhum dan menempatkan rohnya bersama-sama golongan yang soleh. Al-Fatihah,” katanya di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.