Rakyat Korea Selatan 1 atau 2 tahun lebih muda

Rakyat Korea Selatan 1 atau 2 tahun lebih muda

Undang-undang baharu yang berkuat kuasa hari ini mewajibkan penggunaan kaedah pengiraan umur antarabangsa.

Secara tradisi, rakyat Korea Selatan dianggap berusia setahun ketika lahir dan setahun ditambah setiap 1 Jan.
SEOUL:
Warga Korea Selatan kini satu atau dua tahun lebih muda susulan pelaksanaan undang-undang baharu bagi penggunaan kaedah pengiraan umur antarabangsa menggantikan cara tradisional negara itu.

Di bawah sistem umur yang biasanya digunakan dalam kehidupan seharian rakyat Korea Selatan, mereka dianggap berumur setahun ketika lahir dan setahun ditambah setiap 1 Jan.

Sejak 1960-an, negara itu menggunakan norma antarabangsa, iaitu mengira dari sifar ketika lahir dan setahun ditambah pada setiap ulang tahun kelahiran bagi dokumen perubatan dan undang-undang. Tetapi, ramai rakyatnya terus menggunakan kaedah tradisional bagi perkara lain.

Disember lalu, Korea Selatan meluluskan undang-undang bagi menghapuskan kaedah tradisional dan menerima pakai standard antarabangsa sepenuhnya.

“Kami menjangkakan pertikaian undang-undang, aduan dan kekeliruan sosial berpunca daripada cara pengiraan umur akan berkurangan secara mendadak,” kata Menteri Undang-undang Kerajaan, Lee Wan-kyu dalam taklimat Isnin lalu.

Tinjauan kerajaan pada September 2022 mendapati 86% warga Korea Selatan menyatakan mereka akan menggunakan usia antarabangsa dalam kehidupan harian mereka selepas undang-undang baharu dikuatkuasakan.

Satu lagi sistem umur wujud untuk kerahan tenaga, kemasukan ke sekolah dan pengiraan umur sah bagi pengambilan alkohol serta merokok: umur seseorang dikira dari sifar ketika lahir dan setahun ditambah setiap 1 Jan. Pegawai berkata, kaedah itu akan dikekalkan buat masa ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.