Pemain kebangsaan Panama Gilberto Hernandez mati ditembak

Pemain kebangsaan Panama Gilberto Hernandez mati ditembak

Pemain bola sepak itu meninggal dunia dalam serangan bersenjata di bandar pelabuhan Colon.

Pemain bola sepak kebangsaan Panama maut dalam serangan bersenjata dipercayai berlaku antara kumpulan penjenayah bertelagah. (Gambar Facebook)
MEXICO CITY:
Pemain pertahanan Panama, Gilberto Hernandez maut dalam satu kejadian tembakan, kata polis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pemain berusia 26 tahun yang bermain untuk kelab divisyen satu, Club Atletico Independiente de La Chorrera dan pasukan kebangsaan Panama, meninggal dunia dalam serangan bersenjata ke atas sekumpulan individu di bandar pelabuhan Colon pada Ahad, menurut polis.

Seorang suspek kejadian telah ditahan, kata pihak berkuasa pada Isnin.

Menurut maklumat, serangan itu mungkin berpunca daripada perselisihan antara kumpulan penjenayah yang bertelagah. Tujuh orang lagi cedera.

Hernandez membuat penampilan sulungnya untuk pasukan kebangsaan dalam perlawanan menentang Guatemala pada Mac.

Beberapa hari kemudian, beliau menjadi sebahagian daripada pasukan Panama yang mengalahkan Argentina dalam perlawanan persahabatan pertama mereka selepas memenangi Piala Dunia di Qatar, di mana pemain bintang Lionel Messi menjaringkan gol kompetitifnya yang ke-800.

Persekutuan bola sepak dan liga Panama menyatakan kekesalan di atas kematian Hernandez.

“Pada masa yang sukar ini, kami mengucapkan takziah dan sokongan yang tulus kepada keluarga dan rakan-rakan,” kata liga itu dalam hantaran di platform Twitter.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.