Tiada perjanjian tanpa Israel undur dari Gaza, tegas Hamas

Tiada perjanjian tanpa Israel undur dari Gaza, tegas Hamas

Hamas mendakwa Israel mahu 'gencatan senjata sementara' untuk bebas tahanan dan kembali sambung genosid.

Perang ke atas Gaza telah memasuki bulan ketujuh dengan hampir 33,800 rakyat Palestin terkorban dan mencederakan hampir 76,400. (Gambar AP)
Perang ke atas Gaza telah memasuki bulan ketujuh dengan hampir 33,800 rakyat Palestin terkorban dan mencederakan hampir 76,400. (Gambar AP)
BANDAR GAZA:
Kumpulan Palestin Hamas menegaskan tidak akan bersetuju dengan pembebasan mana-mana tebusan tanpa pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza dan kepulangan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal ke kediaman mereka di seluruh wilayah itu.

“Tidak ada konsesi pengunduran sepenuhnya (tentera Israel dari Gaza) dan kepulangan bebas penduduk yang kehilangan tempat tinggal ke kawasan mereka di seluruh Semenanjung Gaza,” kata anggota biro politik Hamas, Izzat Al-Rishq dalam kenyataan, lapor Agensi Anadolu.

“Gencatan senjata secara kekal adalah satu-satunya jaminan untuk melindungi rakyat dan menghentikan pertumpahan darah serta pembunuhan beramai-ramai,” katanya.

Al-Rishq memberi amaran bahawa Israel hanya mahukan “perjanjian gencatan senjata sementara” untuk membebaskan tahanannya dan kemudian menyambung kembali “perang dan genosid”.

Pada Sabtu, Hamas berkata ia telah mengemukakan maklum balas kepada Mesir dan Qatar mengenai cadangan gencatan senjata di Gaza dengan Israel, dan mengulangi permintaannya gencatan senjata kekal, pengunduran askar Israel dari Gaza, kepulangan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal dan membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan ke wilayah itu.

Serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt 2023, setakat ini mengorbankan hampir 33,800 rakyat Palestin dan mencederakan hampir 76,400 orang menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.

Perjanjian sebelum ini pada November menyaksikan pembebasan 81 warga Israel dan 24 warga asing sebagai pertukaran untuk 240 rakyat Palestin, termasuk 71 wanita dan 169 kanak-kanak.

Amerika Syarikat, Qatar, dan Mesir sejak itu cuba mencapai persetujuan untuk membebaskan tahanan Israel yang tinggal.

Gesaan global untuk gencatan senjata semakin meningkat apabila perang telah memasuki bulan ketujuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.