Tak mungkin kebakaran loji nuklear Zaporizhzhia disebabkan dron, kata IAEA

Tak mungkin kebakaran loji nuklear Zaporizhzhia disebabkan dron, kata IAEA

Rusia sebelum ini menuduh tentera Ukraine menyerang menara penyejuk dengan kenderaan udara tanpa pemandu.

Zaporizhzhia Nuclear Power Station
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berkata keselamatan Loji Tenaga Nuklear Zaporizhzhia (ZNPP) tidak terjejas. (Gambar Ukrainian Presidential Press Office/AP)
WASHINGTON:
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berkata pakarnya melawat menara penyejuk yang rosak di Loji Tenaga Nuklear Zaporizhzhia (ZNPP) di Ukraine dan tidak menemukan sebarang kesan dron.

“Berdasarkan pemerhatian, pasukan menilai bahawa tidak mungkin sumber utama kebakaran bermula di dasar menara penyejuk,” kata Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi dalam kenyataan, menurut Agensi Anadolu.

Kenyataannya dibuat sehari selepas Ukraine dan Rusia saling menuduh berikutan laporan mengenai kebakaran di satu daripada sistem penyejukan loji tenaga yang dikawal Rusia itu.

Rusia menuduh tentera Ukraine menyerang menara penyejuk dengan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), manakala Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menuduh tentera Rusia menyebabkan kebakaran di loji itu.

Semasa melawat menara penyejuk yang terjejas, Grossi berkata pasukan itu melihat kawasan terbakar pada peralatan dalaman di bahagian atas, berhampiran paras pengagihan muncung air.

Sampel serpihan, termasuk plastik terbakar dan cair telah dikumpul, katanya sambil menambah:

“Tiada tayar atau kesan dron yang ditemukan semasa pemeriksaan.”

Pasukan itu mengesahkan bahawa tiada tanda gangguan ketara pada serpihan, abu atau jelaga di dasar menara penyejuk dan keselamatan nuklear loji berkenaan tidak terjejas, tegasnya.

“Pasukan itu belum dapat membuat kesimpulan muktamad berdasarkan penemuan dan pemerhatian setakat ini,” kata Grossi.

Beliau berkata, IAEA akan meneruskan analisis keseluruhannya selepas kajian tambahan dan akses ke paras pengagihan muncung air dan kolam air sejuk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.