Kebakaran tahfiz: Mahkamah dapati pengurusan pusat, MAIWP cuai

Kebakaran tahfiz: Mahkamah dapati pengurusan pusat, MAIWP cuai

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur arah pengetua pusat tahfiz DQI dan isteri serta MAIWP bayar ganti rugi kepada waris mangsa terkorban.

Peguam plaintif Mohaji Selamat (dua dari kanan) maklum pihaknya rayu tuntutan ke atas wang derma yang ditolak Hakim Suzana Muhammad Said.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi mendapati pengurusan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) cuai dalam tragedi kebakaran mengorbankan 21 pelajar dan dua guru pada 2017.

Sehubungan itu, Hakim Suzana Muhammad Said mengarahkan defendan membayar ganti rugi kesedihan RM10,000 kepada setiap waris mangsa terkorban selain ganti rugi teladan RM500,000 secara global untuk diagihkan kepada semua plaintif.

Mahkamah turut memerintahkan pampasan nominal sebanyak RM30,000 dibayar kepada setiap waris mangsa selain kos sepanjang perbicaraan sebanyak RM20,000 kepada setiap plaintif.

Bagaimanapun Suzana menolak tuntutan waris mendapatkan wang derma orang awam yang dikatakan berjumlah antara RM8 juta hingga RM10 juta, berikutan kegagalan plaintif mengemukakan bukti mencukupi.

Menurut mahkamah, dana derma berkenaan dimasukkan ke dalam akaun persendirian dan plaintif gagal membuktikan bahawa wang itu diperuntukkan khusus untuk manfaat waris mangsa.

Peguam Mohaji Selamat yang mewakili plaintif memaklumkan anak guamnya mahu memfailkan rayuan secepat mungkin.

“Pihak keluarga tidak berpuas hati kerana derma diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia yang prihatin dan simpati atas kematian ini, bernilai sekitar RM10 juta ditolak untuk diagih-agihkan kepada waris.

“Kita akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, peguam mewakili defendan, Ahmad Zaharil Muhaiyar menyatakan anak guamnya menzahirkan rasa lega apabila mahkamah menolak tuntutan waris ke atas wang derma yang dimasukkan ke akaun persendirian DQI itu.

“Hampir sembilan tahun (kami) mempertahankan duit dalam akaun yang dimasukkan oleh penderma, hari ini mahkamah memutuskan duit tersebut kepunyaan DQI apabila pihak plaintif gagal membuktikan niat penderma.

“Hari ini dah terbukti, tidak ada langsung satu sen pun kami ambil untuk kegunaan kami,” katanya.

Kes saman sivil itu difailkan oleh ibu bapa pelajar yang terkorban dan cedera dalam kebakaran pusat tahfiz itu terhadap pengetua tahfiz, Mohd Zahid Mahmood dan isterinya, serta MAIWP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.