Eksekutif jualan saman pemandu, platform e-panggilan

Eksekutif jualan saman pemandu, platform e-panggilan

Akibat kemalangan, Slinda Abdullah, 22, koma enam hari dan buta kekal pada mata kiri, menurut peguam.

Slinda Abdullah (kiri), bapanya Alif Liew (kanan) dan peguam Ng Kian Nam pada sidang media.
KUALA LUMPUR:
Seorang eksekutif jualan memfailkan saman sivil terhadap seorang pemandu e-panggilan dan pengendali platform inDrive berikutan kemalangan jalan raya yang menyebabkannya koma selama enam hari dan buta kekal pada mata kiri.

Slinda Abdullah, 22, memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, mendakwa pemandu tersebut cuai. Beliau turut menamakan pemilik kenderaan sebagai defendan.

Beliau menuntut ganti rugi am dan khas berjumlah RM566,063, termasuk untuk kecederaan dan kos hospital yang terpaksa ditanggungnya.

Peguam Ng Kian Nam yang mewakili Slinda memberitahu pemberita, anak guamnya cedera pada pelbagai bahagian badan termasuk kepala, mata, muka, tulang belakang, pelvis dan kaki kanan, serta hilang penglihatan pada mata kiri secara kekal dalam kemalangan pada 21 Okt 2024 itu.

Beliau berkata, kemalangan berlaku selepas kenderaan dinaiki anak guamnya hilang kawalan berhampiran Lebuhraya Sultan Iskandar dan terbabas keluar dari jalan raya.

Ng berkata, masih belum jelas sama ada insurans liabiliti awam yang diwajibkan bagi operasi e-panggilan berkuat kuasa sewaktu kemalangan itu berlaku.

Katanya, firmanya telah meminta butiran lengkap pemandu daripada inDrive, namun pada mulanya dimaklumkan bahawa maklumat tersebut tidak boleh didedahkan selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.

Bagaimanapun, katanya, Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) kemudian mengesahkan bahawa akaun inDrive pemandu terbabit digantung seminggu selepas kemalangan itu.

Bapa Slinda, Alif Liew, turut mendakwa, walaupun pihaknya telah beberapa kali meminta perkembangan kes daripada polis, tiada ‘jawapan yang jelas’ diberikan setelah lebih setahun berlalu.

Wakil Pertubuhan Perkhidmatan E-Hailing dan Penghantaran Malaysia turut hadir pada sidang media tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.