Taufan Yagi ragut 4 nyawa di utara Vietnam

Taufan Yagi ragut 4 nyawa di utara Vietnam

Seramai 78 mangsa cedera selepas Taufan Yagi mendarat di utara Vietnam pada petang Sabtu.

Typhoon-Yagi-Vietnam-AFP
Sebelum membadai Quang Ninh, Taufan Yagi menyebabkan ratusan pokok tumbang di Pulau Co To, kira-kira 80km dari tanah besar. (Gambar AFP)
HANOI:
Taufan Yagi mendarat di utara Vietnam pada petang Sabtu meragut empat nyawa dan mencederakan 78 yang lain, menurut Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar.

Mangsa korban termasuk tiga dari wilayah pantai Quang Ninh dan satu dari wilayah utara Hai Duong. Seramai 58 mangsa cedera dari Quang Ninh dan 20 lagi dari bandar pelabuhan Hai Phong, lapor Xinhua.

Setakat petang tadi, enam orang dan sebuah kapal di Quang Ninh dilaporkan hilang. Sebanyak 14 kapal, termasuk 13 kapal nelayan tanpa pemandu dan sebuah kapal pelancong tanpa pemandu karam akibat ombak besar serta angin kencang.

Semasa taklimat media kerajaan, Pham Duc Luan, ketua Jabatan Pengurusan Daik dan Kawalan Bencana Alam berkata, Taufan Yagi “ribut terkuat yang melanda wilayah utara dalam tempoh 30 tahun lepas”.

Setakat ini, hampir 53,000 penduduk di kawasan terdedah, terutamanya mereka yang tinggal di rumah sementara dekat kawasan akuakultur dipindahkan ke lokasi lebih selamat.

Banjir kilat dan tanah runtuh kekal sebagai risiko besar di beberapa kawasan utara, termasuk Quang Ninh, Hai Phong, Lang Son, Thai Nguyen, Cao Bang dan Ha Giang.

Bencana alam terutamanya ribut, tanah runtuh dan banjir menyebabkan 111 orang maut dan hilang di negara Asia Tenggara itu sejak awal tahun ini sehingga 5 Ogos lalu, jumlah tertinggi dilaporkan untuk tempoh sama dalam tempoh lima tahun, menurut Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan untuk Pencegahan dan Kawalan Bencana Alam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.