Trump umum ‘perubahan menyeluruh’ usai rundingan AS-China

Trump umum ‘perubahan menyeluruh’ usai rundingan AS-China

Presiden AS berkata kemajuan besar telah dicapai dalam rundingan dua negara di Switzerland.

Donald Trump
Presiden AS Donald Trump mahu pembukaan pasaran China kepada perniagaan Amerika Syarikat. (Gambar AP)
ISTANBUL:
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan pasukannya mengadakan ‘pertemuan yang sangat baik’ mengenai perdagangan dengan pegawai China di Switzerland, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Beliau mendakwa satu ‘perubahan menyeluruh’ dalam hubungan AS-China telah dicapai.

“Pertemuan yang sangat baik hari ini dengan China di Switzerland. Banyak perkara dibincangkan, banyak yang dipersetujui. Perubahan menyeluruh dirundingkan secara mesra tetapi membina.

“Kami mahu melihat, demi kebaikan China dan Amerika Syarikat, pembukaan pasaran China kepada perniagaan Amerika. Kemajuan besar telah dicapai!!!,” tulis Trump di platform Truth Social.

Hari pertama rundingan perdagangan di Geneva itu berakhir dengan perbincangan dijadual bersambung semula pada Ahad, menurut Anadolu yang memetik laporan Wall Street Journal.

Mesyuarat bermula pada 10 pagi waktu tempatan Sabtu dan disusuli rehat tengah hari sebelum berakhir sekitar 8 malam, berlangsung sekurang-kurangnya lapan jam, menurut akhbar itu.

Tiada kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat, dan butiran mengenai kandungan atau nada perbincangan tidak didedahkan.

Delegasi Amerika Syarikat diketuai Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent dan Wakil Perdagangan Jamieson Greer, manakala delegasi China diketuai Naib Perdana Menteri He Lifeng.

Rundingan itu diadakan di tengah-tengah usaha meredakan ketegangan perdagangan selepas peningkatan mendadak awal tahun ini apabila As mengenakan tarif sehingga 145% ke atas import dari China.

Sebagai tindak balas, Beijing mengenakan tarif timbal balik sehingga 125% terhadap produk tertentu dari AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.