Kerajaan digesa gantung ratifikasi ART dengan AS

Kerajaan digesa gantung ratifikasi ART dengan AS

Desakan dibuat empat wakil rakyat kerajaan susulan Mahkamah Agung AS batal tarif import Presiden Donald Trump yang disifatkan tidak berperlembagaan.

Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, Wong Chen (Subang) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya) dalam sidang media di Parlimen.
KUALA LUMPUR:
Empat Ahli Parlimen kerajaan menggesa Putrajaya menggantung serta-merta semua langkah dan proses ratifikasi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS).

Desakan dibuat Wong Chen (Subang), Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya) susulan Mahkamah Agung AS membatalkan tarif import Presiden Donald Trump yang disifatkan sebagai tidak berperlembagaan.

“Memandangkan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat bahawa semua tarif tersebut pada hakikatnya tidak sah, justeru ART juga seharusnya dianggap tidak sah secara ab initio,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Mereka juga menggesa kerajaan mendedahkan secara terbuka langkah serta proses ratifikasi yang kerajaan bercadang laksanakan berhubung ART antara Malaysia dan AS.

“Kami juga meminta kerajaan mengarahkan serta-merta Pejabat Peguam Negara mengeluarkan suatu pendapat undang-undang mengenai kesahihan ART susulan keputusan Mahkamah Agung AS dan membentangkan pendapat undang-undang tersebut kepada Ahli Parlimen;

“Kerajaan juga perlu memaklumkan kepada Ahli Parlimen mengenai implikasi kos-manfaat berhubung tarif global Trump sebanyak 15% yang baru diumumkan, mengambil maklum bahawa tarif tersebut hanya terpakai selama 150 hari dan berkemungkinan tertakluk kepada satu lagi perbicaraan di Mahkamah Agung AS,” kata mereka.

Mereka juga meminta kerajaan memaklumkan kepada Ahli Parlimen mengenai semua perkembangan berkaitan potensi pemulangan semula tarif berjumlah berbilion dolar, serta memastikan pengeksport Malaysia yang telah diminta menanggung dan membayar sebahagian daripada tarif tersebut turut menerima pemulangan.

Wakil rakyat PKR tersebut turut menasihati Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, supaya lebih berhati-hati dan tidak membuat komitmen menandatangani sebarang perjanjian perdagangan yang boleh terus menjejaskan kedaulatan negara semasa mengadakan siri pertemuan dengan Trump pada masa akan datang.

“Kami juga mengulangi pendirian bahawa suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang bebas mengenai ART perlu ditubuhkan secepat mungkin untuk menyiasat bagaimana ART tersebut telah dirunding dan ditandatangani,” katanya.

Semalam, Anwar berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) akan membentangkan laporan terperinci mengenai tarif timbal balik AS kepada Jemaah Menteri, Jumaat ini.

Sabtu lalu, Mahkamah Agung AS memutuskan Trump melampaui kuasanya dalam melaksanakan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa.

Malaysia dan AS memeterai perjanjian perdagangan timbal balas semasa Trump ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak Asean tahun lalu. Perjanjian itu mengekalkan tarif 19% ke atas barangan Malaysia, namun produk tertentu menikmati tarif sifar di bawah senarai rakan dagang bersama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.