15 maut akibat Taufan Matmo, Vietnam rayu bantuan antarabangsa

15 maut akibat Taufan Matmo, Vietnam rayu bantuan antarabangsa

Vietnam merayu rakan antarabangsa menyalurkan bantuan kecemasan dan pemulihan susulan siri bencana alam teruk yang melanda negara itu tahun ini.

Penunggang
Penunggang motosikal meredah jalan dinaiki air di Hanoi, Vietnam. (Gambar EPA Images)
HANOI:
Hujan lebat dan banjir dicetuskan Taufan Matmo meragut 15 nyawa, dengan lapan lagi cedera di wilayah utara serta utara-tengah Vietnam, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Empangan Vietnam pada Jumaat yang dipetik Xinhua.

Lebih 225,000 rumah ditenggelami air dan lebih 1,500 lagi rosak teruk, manakala kira-kira 24,000 hektar sawah padi dan tanaman lain turut musnah akibat banjir.

Hampir 587,000 ternakan dan unggas mati atau hanyut dibawa arus. Taufan itu turut menyebabkan gangguan serius kepada perkhidmatan pengangkutan dengan 27 jalan raya terputus akibat banjir serta tanah runtuh, menurut agensi berkenaan.

Bekalan elektrik kira-kira 181,000 isi rumah terputus, manakala rangkaian telekomunikasi di beberapa wilayah masih mengalami sebahagian gangguan.

Agensi berita Vietnam (VNA) pada Jumaat melaporkan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh semalam mengarahkan kementerian dan agensi berkaitan segera membantu pihak berkuasa tempatan dalam usaha menangani kesan Taufan Matmo.

Vietnam turut merayu rakan antarabangsa menyalurkan bantuan kecemasan dan pemulihan susulan siri bencana alam teruk yang melanda negara itu tahun ini, menurut Kementerian Pertanian dan Alam Sekitar dalam mesyuarat di Hanoi bersama pertubuhan antarabangsa serta kedutaan di bawah Perkongsian Pengurangan Risiko Bencana.

Timbalan Menteri Pertanian dan Alam Sekitar, Nguyen Hoang Hiep, berkata kerugian ekonomi dianggarkan berjumlah 35 trilion dong Vietnam (kira-kira USD1.3 bilion) dan bencana itu dijangka mengurangkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 0.2%, menurut laporan media tempatan VNExpress.

Setakat tahun ini, Vietnam dilanda 11 taufan termasuk enam yang melanda daratan serta empat lekukan tropika yang mengorbankan 238 nyawa serta mencederakan hampir 400 orang, selain menyebabkan kerosakan besar kediaman, tanah pertanian dan infrastruktur awam, menurut laporan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.