Letupan sekolah Jakarta: 96 cedera, polis siasat motif kejadian

Letupan sekolah Jakarta: 96 cedera, polis siasat motif kejadian

Pihak berkuasa jumpa serbuk mencurigakan di rumah suspek 17 tahun, yang kini sedang dianalisis di makmal forensik.

Polis masih menyiasat kejadian letupan di masjid SMAN 72 di Jakarta Utara bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian. (Gambar EPA Images)
JAKARTA:
Dua letupan di Sekolah Menengah Atas Negeri (SMAN) 72 di Jakarta Utara pada Jumaat mencederakan 96 orang, kebanyakannya mengalami kesan lecur dan luka serpihan, menurut polis Indonesia hari ini.

Jumlah mangsa pada awalnya dilaporkan 54 orang, namun angka itu meningkat selepas lebih ramai pelajar dan individu dikenal pasti serta menerima rawatan susulan.

Letupan berlaku ketika jemaah sedang menunaikan solat di masjid sekolah itu, yang terletak di kompleks perumahan Tentera Laut di Kelapa Gading, menurut kenyataan polis.

“Daripada jumlah itu, seramai 29 masih dirawat di tiga hospital, manakala selebihnya telah dibenarkan keluar dan meneruskan rawatan sebagai pesakit luar,” kata Ketua Polis Negara Listyo Sigit Prabowo selepas melawat mangsa pada Sabtu.

Sigit berkata, pelajar yang terkesan menunjukkan semangat luar biasa untuk kembali ke sekolah, dan pihak polis bersama Suruhanjaya Perlindungan Kanak-kanak merancang menubuhkan pusat trauma bagi menyokong pemulihan emosi serta kesihatan mental mereka.

Suspek berusia 17 tahun, yang juga pelajar sekolah itu, telah menjalani pembedahan di kepala dan kini berada di bawah pengawasan di unit rawatan rapi.

“Keadaannya beransur pulih selepas rawatan intensif, dan ini akan membantu proses siasatan sekiranya diperlukan,” kata Sigit.

Pihak berkuasa turut menjumpai serbuk mencurigakan di rumah suspek, yang kini sedang dianalisis di makmal forensik bagi menentukan jenis dan fungsinya.

Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian, termasuk kemungkinan pengaruh ideologi, pendedahan media sosial serta dakwaan bahawa suspek pernah menjadi mangsa buli.

Unit antikeganasan Densus 88 turut menyiasat kemungkinan kaitan dengan rangkaian pengganas, namun setakat ini tiada bukti yang mengesahkan perkara berkenaan, menurut kenyataan polis.

Pihak polis turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sementara siasatan masih dijalankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.