
Tetapi, nasib 165 pelajar dan kakitangan lain yang dipercayai masih dalam tahanan belum jelas.
Bulan lalu, 315 pelajar dan kakitangan diculik dari Sekolah Berasrama Penuh St Mary di negeri Niger, utara-tengah Nigeria, yang berdepan gelombang penculikan besar-besaran, mengingatkan penculikan pelajar di Chibok oleh Boko Haram pada 2014.
Kira-kira 50 orang berjaya melarikan diri tidak lama kemudian, menyebabkan 265 orang dipercayai masih dalam tahanan.
Menurut sumber PBB, 100 pelajar akan diserahkan kepada pegawai kerajaan tempatan di Niger pada Isnin.
“Mereka akan diserahkan kepada kerajaan negeri Niger esok (Isnin),” kata sumber itu kepada AFP.
Media tempatan melaporkan 100 kanak-kanak dibebaskan tanpa memberikan butiran sama ada ia dilakukan melalui rundingan atau tindakan ketenteraan, atau nasib pelajar dan kakitangan lain yang dipercayai masih ditahan penculik.
Pembebasan 100 kanak-kanak itu disahkan jurucakap presiden, Sunday Dare, kepada AFP.
“Kami berdoa dan menunggu kepulangan mereka, jika benar, maka ini berita menggembirakan. Tetapi, kami tidak dimaklumkan secara rasmi oleh kerajaan persekutuan,” kata Daniel Atori, jurucakap kepada Uskup Bulus Yohanna yang mengendalikan sekolah itu.
Gelombang penculikan itu berlaku ketika Nigeria berdepan serangan diplomatik daripada Amerika Syarikat (AS), di mana Presiden Donald Trump mendakwa pembunuhan besar-besaran penganut Kristian mencapai tahap “genosid” dan mengugut akan campur tangan.
Kerajaan Nigeria dan penganalisis bebas bagaimanapun menolak dakwaan itu, yang telah lama digunakan golongan Kristian kanan di AS serta Eropah.