
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri, Soffi Abd Razak, berkata peruntukan itu meliputi beberapa isu utama mengikut keperluan semasa, antaranya untuk penyelenggaraan sekolah melibatkan RM26.2 juta.
“Untuk kerja naik taraf sekolah akibat bencana (peruntukan) berjumlah RM2.7 juta manakala bagi tujuan kecemasan kerajaan menyediakan RM5.5 juta,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Soffi berkata demikian bagi menjawab soalan V Arumugam (BN-Sabai) yang ingin tahu jika JPNP menerima peruntukan secukupnya untuk mengatasi isu kerosakan sekolah
Selain itu, beliau berkata sebanyak RM1.1 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan lif dan sistem penyaman udara manakala RM3.9 juta untuk kuarters guru serta petugas.
Soffi berkata JPNP turut memperuntukkan RM6.1 juta bagi kerja ubah suai dan naik taraf kantin serta surau selaras dengan keperluan beberapa sekolah yang tidak dapat menampung jumlah murid ketika waktu rehat walaupun dilaksanakan dalam dua hingga tiga sesi.
“Kita dapati ada sekolah yang kantinnya terlalu kecil dan tidak mampu menampung murid. Maka pembinaan atau naik taraf surau turut dilakukan supaya murid boleh menikmati makanan di ruang berkenaan sekali gus meningkatkan keselesaan mereka,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri turut menyalurkan dana khas melalui wakil rakyat, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta beberapa inisiatif lain bagi membantu sekolah dalam penyelenggaraan aset dan kemudahan pendidikan.