
Kementerian Pertahanan Kemboja dalam catatan Facebooknya berkata, tentera Thailand melepaskan tembakan ke wilayah sempadan Banteay Meanchey selepas tengah malam tadi menyebabkan dua orang awam maut.
Menteri Penerangan Kemboja, Neth Pheaktra, memberitahu AFP sekurang-kurangnya empat orang awam maut akibat tembakan Thailand pada Isnin di wilayah Preah Vihear dan Oddar Meanchey, yang bersempadan dengan Thailand.
Katanya, kira-kira 10 lagi orang awam cedera.
Tentera Thailand pula memaklumkan seorang anggotanya terbunuh dan 18 lagi cedera sejak pertempuran tercetus Ahad lalu.
Kedua-dua pihak saling menuding jari kerana mencetuskan pertempuran terbaharu, yang menyaksikan Thailand melancarkan serangan udara dan menggunakan kereta kebal terhadap jirannya pada Isnin.
Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu telah lama tidak sependapat mengenai jajaran sempadan sepanjang 817km belum dimuktamadkan, yang terus menjadi punca ketegangan dan tekanan diplomatik.