Indonesia kekal sekatan akses Grok

Indonesia kekal sekatan akses Grok

Menteri Komunikasi dan Digital Meutya Hafid berkata aplikasi berasaskan AI itu masih tertakluk kepada sekatan pentadbiran dan dalam penilaian kementerian.

Grok
Indonesia menyekat akses kepada Grok sejak 10 Jan lalu atas kebimbangan kandungan pornografi dan deepfake dijana AI boleh menimbulkan risiko kepada keselamatan awam. (EPA Images pic)
JAKARTA:
Indonesia mengekalkan sekatan akses kepada chatbot kecerdasan buatan (AI) Grok sementara menunggu pengesahan daripada pemiliknya, platform media sosial X berhubung pematuhan terhadap syarat ditetapkan kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Meutya Hafid, berkata aplikasi berasaskan AI itu masih tertakluk kepada sekatan pentadbiran dan dalam penilaian kementerian.

“Statusnya kekal disekat Kementerian Komunikasi dan Digital sementara menunggu kepastian pematuhan daripada Grok untuk disampaikan kepada kerajaan,” katanya menurut laporan agensi berita Antara pada Isnin malam.

Beliau berkata demikian semasa mesyuarat bersama Suruhanjaya I Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang menyelia hal ehwal komunikasi dan informatik, pertahanan, hal ehwal luar negeri serta perisikan.

Indonesia memutuskan untuk menyekat akses kepada Grok buat sementara sejak 10 Jan lalu atas kebimbangan kandungan pornografi dan deepfake dijana AI boleh menimbulkan risiko kepada keselamatan awam.

Grok, sistem AI generatif disepadukan dengan platform media sosial X, dimiliki dan dibangunkan xAI, syarikat diasaskan Elon Musk pada 2023.

Pada mesyuarat itu, Meutya berkata, antara isu dibangkitkan ialah pendaftaran Pengendali Sistem Elektronik (PSE) sektor swasta, dengan 3,805 PSE mendaftar setakat bulan lalu.

Beliau berkata, kementerian turut mengeluarkan 61 surat amaran kepada PSE untuk mendaftar sebagai sebahagian usaha menguatkuasakan pematuhan, dengan sebahagian besarnya telah mendaftar, termasuk OpenAI.

Mengenai pengendalian kandungan negatif, Meutya berkata, kementerian menyekat 2,737,962 kandungan negatif sepanjang 2025, termasuk 2,087,109 berkaitan perjudian dalam talian.

Dalam perkembangan lain, katanya, Pusat Data Nasional 1 (PDN 1) Indonesia kini beroperasi secara terhad selepas melengkapkan persediaan serta lulus ujian kelayakan dan keselamatan tahun lalu.

“Persediaan untuk operasi PDN bagi 2026 kini boleh dimulakan kerana kami telah menerima surat bertarikh 14 Jan lalu yang menyatakan ia boleh beroperasi secara terhad.”

Sementara itu, Meutya berkata, kementerian menyasarkan akses kepada perkhidmatan internet pantas dan mampu milik diperluaskan kepada 1.99 juta isi rumah tahun ini serta 10.8 juta isi rumah menjelang 2030.

Menurutnya, perkhidmatan internet kos rendah menggunakan teknologi Akses Wayarles Jalur Lebar pada jalur frekuensi radio 1.4 Ghz sedang disiapkan dan sedia dilaksanakan secara berperingkat.

Ketika ini, katanya, liputan rangkaian 4G mencapai 98.95% populasi Indonesia, manakala liputan 5G mencecah 6.33% kawasan kediaman di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.