Mahkamah Agung AS putus tarif ‘timbal balas’ Trump tak ikut Perlembagaan

Mahkamah Agung AS putus tarif ‘timbal balas’ Trump tak ikut Perlembagaan

Donald Trump melampaui kuasa presidennya apabila menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 untuk mengenakan tarif global secara meluas.

Presiden AS Donald Trump pada tahun lalu mengenakan tarif lebih tinggi dengan pantas tanpa kelulusan Kongres walaupun kuasa percukaian diperuntukkan kepada cabang perundangan. (Gambar EPA Images)
WASHINGTON:
Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) memutuskan pada Jumaat penggunaan kuasa darurat oleh Presiden Donald Trump untuk mengenakan apa yang digelar tarif ‘timbal balas’ ke atas hampir semua rakan dagang AS adalah tidak berperlembagaan, lapor Kyodo News.

Keputusan itu adalah tamparan besar kepada Trump, yang pada tahun lalu menggunakan undang-undang darurat era 1970-an untuk mengenakan tarif lebih tinggi dengan pantas tanpa kelulusan Kongres, walaupun kuasa percukaian diperuntukkan kepada cabang perundangan.

Mengekalkan keputusan mahkamah lebih rendah, mahkamah tertinggi memutuskan Trump melampaui kuasa presidennya apabila menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 (IEEPA) untuk mengenakan tarif global secara meluas, termasuk duti berkaitan fentanyl ke atas barangan dari China, Kanada, dan Mexico.

Semasa hujahan lisan pada awal November, majoriti daripada sembilan hakim mahkamah itu dilihat skeptis terhadap kuasa Trump untuk memintas Kongres dalam mengenakan tarif dua angka ke atas import dari hampir semua negara.

Keputusan muktamad itu dijangka memberi implikasi besar terhadap matlamat ekonomi dan dasar luar beliau, selain memberi kesan kepada kerajaan dan perniagaan di seluruh dunia.

Tarif adalah teras agenda ‘America First’ Trump. Beliau berhujah langkah itu akan menghidupkan semula sektor pembuatan AS, mewujudkan pekerjaan, mengurangkan hutang negara, meningkatkan hasil cukai serta memberi AS kelebihan dalam rundingan untuk mendapatkan konsesi dari negara lain.

Pada awal tahun lalu, pentadbiran Trump memperkenalkan tarif ke atas barangan dari China, Kanada, dan Mexico dengan mendakwa tiga rakan dagang utama AS itu gagal membendung kemasukan fentanyl ke AS.

Pada awal April, Trump turut mengumumkan tarif ‘Liberation Day’ merangkumi tarif sejagat 10%, selain duti tambahan berbeza ke atas puluhan negara yang mencatat defisit dagangan besar dengan AS.

Undang-undang darurat itu menetapkan yang ia boleh digunakan untuk menangani sebarang ancaman luar biasa dan luar jangka yang berpunca sepenuhnya atau sebahagian besarnya dari luar AS terhadap keselamatan negara, dasar luar, atau ekonomi.

Tiada presiden sebelum ini pernah menggunakan undang-undang berkenaan untuk mengenakan tarif. Banyak syarikat AS dan asing memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump bagi mencabar kesahihan langkah berasaskan IEEPA itu serta memastikan mereka menerima bayaran balik sekiranya Mahkamah Agung membatalkannya.

Pegawai kanan pentadbiran Trump sebelum ini membayangkan mereka mungkin menggunakan peruntukan undang-undang alternatif untuk mengenakan semula tarif itu sekiranya keputusan mahkamah tertinggi itu tidak sehaluan dengan presiden.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.